suria

Jualan Suku Tahun Euro Disney Meningkat 358 Juta Euro

PARIS: Taman tema Euro Disney dekat Paris pada Selasa berkata, jualannya meningkat kepada 358 juta euro (RM1.386 bilion) pada suku tahunannya yang berakhir pada Jun berikutan peningkatan pengunjung dan perbelanjaan mereka.

Dalam tempoh sembilan bulan pertama bagi tahun kewangannya yang berakhir pada September, jualan syarikat itu meningkat 2.3 peratus kepada 908.8 juta euro (RM3.518 bilion).

“Walaupun terdapat tingkah laku yang menunggu dan lihat, kami percaya prestasi suku ketiga menyaksikan trend yang menggalakkan,” kata Ketua Eksekutifnya, Philippe Gas dalam satu kenyataannya.

Beliau meluahkan rasa yakin dengan komitmen daripada kakitangan dan tarikan di Paris Disneyland, yang menyambut ulang tahunnya ke-20, akan terus menjana pertumbuhan tetapi tiada jangkaan ditetapkan untuk prestasi tahunan.

Euro Disney pada Mei lalu melaporkan bahawa terdapat peningkatan 22 peratus dalam kerugian bersihnya untuk separuh pertama tahun kewangannya iaitu 100.8 juta euro (RM390.28 juta) dan memberi amaran bahawa ia mungkin perlu mengenakan langkah mengurangkan kos.

Jualan di taman tema itu meningkat enam peratus kepada 207.8 juta euro, dengan bilangan pengunjung meningkat dua peratus dan perbelanjaan mereka naik kepada tiga peratus.

Jualan bagi perniagaan hotel dan restoran yang terletak di luar taman tema itu meningkat satu peratus kepada 138.6 juta euro (RM536.64 juta), dengan peningkatan harga bilik yang diseimbangi oleh penurunan kadar penghuni, terutama oleh pengunjung dari Sepanyol dan Belanda. - AFP

Artikel Lain