suria

Halang Sidang NAM: Indonesia Bersama 12 Negara Turut Kutuk Israel

JAKARTA: Indonesia bersama 12 negara anggota Jawatankuasa Palestin di Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) mengutuk Israel kerana bertindak menghalang penyelenggaraan Mesyuarat Luarbiasa Peringkat Menteri NAM mengenai Jawatankuasa Palestin itu, yang dijadual di Ramallah pada Ahad.

Mesyuarat itu bertujuan menunjukkan kesepakatan terhadap penderitaan rakyat Palestin, sekali gus meninjau situasi di sana berikutan dasar Israel.

"Namun pertemuan tidak dapat diselenggarakan kerana penolakan Israel memberi akses masuk ke Ramallah yang merupakan wilayah Palestin, kepada para delegasi Jawatankuasa Palestin NAM," kata Kementerian Luar Negeri Indonesia dalam kenyataan di sini.

Kenyataan itu menyebut tindakan Israel itu merupakan pelanggaran terhadap prinsip undang-undang antarabangsa dan kewajipannya sebagai pihak berkuasa yang menduduki.

"Tindakan Israel itu telah membuktikan sekali lagi kepada NAM dan masyarakat antarabangsa mengenai kepedihan nasib bangsa Palestin dalam memperjuangkan kemerdekaan di tanah mereka yang telah diduduki sejak Jun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya," kata kementerian itu.

Jawatankuasa Palestin NAM memilih untuk tidak tunduk kepada tekanan Israel dan menetapkan pendirian bersama mengutuk tindakan Israel itu.

Kenyataan itu turut menyebut Israel menggunakan alasan yang lemah, bahawa beberapa negara anggota jawatankuasa itu tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, walaupun kunjungan itu adalah ke wilayah Ramallah, di Palestin dan bukan ke Israel.

Tindakan Israel itu, hanya akan memperkuatkan tekad NAM untuk membantu rakyat Palestin memperoleh maruahnya dan hak untuk mendirikan negara. -BERNAMA

Artikel Lain