suria

China Bersedia Hadapi Taufan Ketiga Dalam Seminggu

BEIJING: China bersiap sedia untuk berhadapan dengan 'serangan' taufan yang ketiga dalam tempoh seminggu selepas dua taufan yang pertama mengorbankan nyawa 14 orang dan menyebabkan 1.24 juta penduduk lagi terpaksa dipindahkan.

Pihak berkuasa setakat ini telah memindahkan 1.24 juta mangsa dari tujuh wilayah setelah dua taufan yang kuat melanda pantai timur negara itu sepanjang minggu lalu.

"Sementara kita masih lagi berada di dalam trauma akibat serangan Taufan Saola dan Damrey kini kita dimaklumkan Taufan Haikui pula sedang menuju ke pantai kita...ini adalah satu rekod yang belum pernah berlaku di tanah air kita," kata Menteri Sumber Air, Chen Lei dalam satu kenyataan, Isnin.

Taufan Haikui diramalkan tiba bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Chen memberi amaran bahawa Taufan Haikui dijangka melanda wilayah Timur Zhejiang dalam tempoh 24 jam dari sekarang.

Menurut Chen Taufan Damrey adalah yang paling kuat melanda utara Sungai Yangtze sejak tahun 1949.

Adalah dikhuatiri wilayah Shanghai dan Jiangsu akan turut terkena tempias taufan ini.

Dalam pada itu menurut agensi berita rasmi China, Xinhua, pasukan penyelamat kini sedang bertungkus lumus untuk menyelamatkan 350 orang pekerja binaan yang dilaporkan terperangkap di dalam sebuah terowong kereta api.

Hanya bulan lalu, 79 orang disahkan terkorban apabila hujan paling lebat melanda Beijing dalam tempoh 60 tahun.

Artikel Lain