suria

Tentera K'jaan Ambil Alih Damascus Sepenuhnya

ALEPPO (Syria): Tentera Kerajaan dilaporkan telah menawan semula semua daerah di ibu negara Syria, Damascus tetapi pemberontakan di bandar ini masih berterusan.

Pihak tentera berkata, satu-satunya daerah di Damascus yang masih menjadi kubu kuat puak pemberontak iaitu Tadamun telah ditawan semula.

Konflik perang saudara di Syria setakat ini dikatakan telah memakan korban 21,000 nyawa - kebanyakannya orang awam dalam tempoh 17 bulan yang lalu.

"Kami telah menawan kembali semua daerah di Damascus, dari Al-Midan sehingga ke Mazzeh, dari Al-Hajar Al-Aswad sehingga ke Qadam... dan kini di Tadamun," kata seorang pegawai tinggi tentera berpangkat Brigedier Jeneral dengan syarat namanya tidak disebut kepada para pemberita.

Pertempuran di Damascus bermula pada 15 Julai lalu dan berpanjangan selama beberapa minggu sehingga puak pemberontak berjaya menawan beberapa daerah utama.

Di bandar ini, Komander pemberontak, Abdel Jabar Oqaida berkata, daerah Salaheddin menjadi sasaran utama bedilan tentera kerajaan sejak 20 Julai lalu tetapi masih gagal memasuki daerah berkenaan.

Bagaimanapun adalah dianggarkan lebih 20,000 tentera kerajaan telah bersedia untuk memasuki dan menawan semula bandar ini daripada puak pemberontak.

Sejak pemberontakan ke atas regim Bashar al-Assad bermula pada Mac tahun lalu, bulan lalu direkodkan sebagai yang terburuk dengan 4,239 kematian menurut sebuah pertubuhan hak asasi manusia.

Artikel Lain