suria

Polis Sepanyol Tahan Tiga Suspek Al-Qaeda

MADRID: Polis Sepanyol menahan tiga suspek anggota Al-Qaeda yang didakwa telah merancang untuk mengadakan serangan di Sepanyol atau mana-mana lokasi lain di Eropah dan merampas bahan letupan yang cukup untuk meletupkan sebuah bas.

“Salah seorang daripada suspek merupakan individu yang amat penting dalam operasi struktur antarabangsa Al-Qaeda,” kata Menteri Dalam Negeri, Jorge Fernandez Diaz pada sidang media.

“Ini merupakan salah satu penyiasatan terbesar yang pernah dikendalikan sehingga sekarang bagi menentang kumpulan pengganas Al-Qaeda di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Menteri menambah, polis menjumpai bahan letupan di sebuah flat di selatan bandar La Linea de Concepcion di Andalusia, di mana salah seorang daripada tiga lelaki itu ditahan pada Rabu.

Dua yang lain ditahan sebelum itu pada Rabu di tengah wilayah Ciudad Real ketika dalam perjalanan menggunakan bas dari selatan Cadiz ke Irun, berhampiran dengan sempadan Perancis.

“Ia merupakan petunjuk yang jelas bahawa mereka yang ditahan mempunyai rancangan untuk mengadakan serangan di Sepanyol atau (mana-mana) di Eropah,” kata beliau kepada pemberita. - AFP

Artikel Berikut

Artikel Lain