suria

Pengambilalihan Batavia Air Akan Ikut Peraturan Indonesia

JAKARTA: Kerajaan Indonesia telah diberikan jaminan bahawa pengambilalihan syarikat penerbangan domestik Batavia Air oleh syarikat penerbangan tambang rendah Indonesia AirAsia (IAA) akan mematuhi peraturan Indonesia.

PT Fersindo Nusaperkasa, pemilik 51 peratus kepentingan dalam syarikat penerbangan kos rendah Indonesia AirAsia telah memberikan komitmennya berhubung perkara itu.

AirAsia Berhad yang berpangkalan di Malaysia menguasai baki 49 peratus kepentingan dalam Indonesia AirAsia.

"Saya telah bekerja dalam industri ini selama 35 tahun. Pasukan saya dan saya tahu mengenai peraturan itu dan bagaimana untuk menjalankan perniagaan di sini dan saya jamin yang kami akan mengikut peraturan Indonesia," kata presiden pengarah Fersindo, Dharmadi kepada akhbar harian Inggeris, Jakarta Post, Khamis.

Di bawah peraturan Indonesia, pemilikan asing ke atas syarikat penerbangan dikekang pada 49 peratus dengan baki 51 peratus dalam tangan Indonesia.

Pada hari Isnin, Komisi Pengawas Persaingan Usaha (KPPU) berkata mereka akan meneliti komposisi pemilikan dalam syarikat-syarikat induk IAA, bagi memastikan yang syarikat Malaysia tidak menguasai terlalu banyak penguasaan pasaran domestik.

Ketua KPPU Tadjuddin Noer Said berkata yang KPPU akan membatalkan pengambilalihan Batavia Air oleh IAA jika ia mempunyai potensi menghentikan syarikat-syarikat penerbangan lain daripada berkembang dalam industri penerbangan.

Dharmadi berkata Fersindo ialah syarikat pelabur domestik sejati dan beliau juga telah menjelaskan kepada ketua pengarah pengangkutan udara Kementerian Pengangkutan, Herry Bhakti Gumay dalam mesyuarat yang diadakan baru-baru ini yang komposisi Batavia Air adalah serupa dengan IAA, dengan 51 peratus penguasaan domestik dan selebihnya 49 peratus milik asing.

Data Kementerian Pengangkutan menunjukkan yang jumlah penumpang syarikat penerbangan di Indonesia mencecah 68.19 juta tahun lepas, dengan 60.04 juta ialah penumpang domestik dan 8.15 juta penumpang antarabangsa.

IAA dilaporkan sebagai peserta antarabangsa terkuat pada 2011 dengan membawa 3.38 juta penumpang atau 41.58 peratus daripada pasaran antarabangsa, sementara ia menerbangkan hanya 181,200 penumpang domestik iaitu tiga peratus daripada penguasaan domestik.

Data menunjukkan Batavia Air membawa hampir tujuh juta penumpang tahun lepas dengan 6.75 juta penumpang domestik dan 292,280 penumpang antarabangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Ribut Ernesto Ancam Barbados

Artikel Lain