suria

Lelaki Ke-12 Terkaya Di Britain Simpan Mayat Isteri Dalam Rumah Kerana Enggan Berpisah Dengannya

LONDON: Lelaki ke-12 terkaya di Britain, Hans Kristian Rausing telah didapati bersalah oleh sebuah mahkamah di sini kerana menyimpan mayat isterinya di dalam rumah mewah mereka selama lebih dua bulan sehingga reput.

Beliau dihukum penjara sepuluh bulan yang ditangguhkan selama dua tahun bagi membolehkannya menjalani rawatan pemulihan dadah sepanjang tempoh tersebut.

Mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut setelah dia membuat pengakuan di mahkamah; “Saya tidak sanggup membiarkan dia pergi meninggalkan rumah ini..."

Hakim Richard McGregor-Johnson ketika menjatuhkan hukuman tersebut berkata: “Jika terdapat satu contoh bagaimana dadah boleh memusnahkan kehidupan seseorang, ia dapat dilihat di dalam kes ini."

"Anda dan isteri anda memiliki segala-galanya dalam dunia ini, apa sahaja yang boleh diidamkan dan untuk seketika anda memiliki kehidupan berkeluarga yang bahagia. Tetapi kembalinya anda berdua dalam penagihan dadah telah memusnahkan semua yang anda miliki,” kata hakim itu lagi.

Hasil bedah siasat tidak dapat memastikan punca kematian Eva Rausing tetapi mendapati tidak kurang dari tiga jenis dadah terkandung di dalam sistem badannya ketika dia meninggal dunia.

Kedua-dua suami isteri itu adalah penagih tegar dan mereka berkenalan ketika menjalani terapi pemulihan dadah di sebuah pusat terapi pada tahun 1989.

Rausing, 49, telah didapati melonggokkan pakaian, plastik sampah, cadar dan pelbagai benda lagi ke atas mayat isterinya dan membiarkan mayat itu reput selama lebih dua bulan di rumah mewah mereka yang bernilai £70 juta di sini.

Beliau kemudiannya menyembur bedak di atas longgokan itu.

Mayat itu ditemui Julai lalu.

Rausing dan isterinya dianggarkan memiliki harta bernilai £5.4 bilion selepas menjual saham mereka di dalam firma pembuat kotak minuman terbesar dunia, Tetra Pak.

Beliau mewarisi perniagaan keluarga itu daripada datuk dan bapanya.

Pihak polis menemui mayat isterinya itu secara tidak sengaja selepas Rausing ditahan kerana didapati memandu dalam keadaan yang mencurigakan Julai lalu.

Hasil siasatan lanjut kemudian mendapati, isteri Rausing, Eva sudah tidak kelihatan di mana-mana untuk tempoh dua bulan sebelum mayatnya ditemui.

Pihak polis yang menyoalsiasat Rausing diberitahu yang isterinya telah kembali ke Amerika Syarikat (Eva adalah warga Amerika).

Tetapi selepas pihak polis mengeledah rumah mewah pasangan itu, mereka telah menemui mayat Eva yang sudah reput di bawah timbunan pakaian, selimut dan plastik sampah di dalam bilik tidur utama yang dikunci.

Rumah mewah mereka di barat daya London itu memiliki 50 buah bilik.

Ketika Rausing ditahan dia telah didapati positif kokain, morfin, diazepam, tamazepam dan nitrazepam.

Rausing kemudian memberitahu pihak polis yang dia sedar yang isteri yang disayanginya selama 19 tahun itu telah meninggal dunia, tetapi dia menyimpan mayat isterinya di bilik itu kerana kasihankan anak-anak mereka.

Beliau juga memaklumkan kepada pihak polis yang beliau tidak mempunyai sebarang ingatan bilakah sebenarnya isterinya telah meninggal dunia.

Artikel Sebelum

Ribut Ernesto Ancam Barbados

Artikel Lain