suria

Projek Penapisan Lynas Di Malaysia Naik A$4 Juta

MELBOURNE: Pelombong nadir bumi, Lynas Corporation, berkata ujian akhir kilang penapisan nadir buminya di Pahang 64 peratus siap pada akhir Jun.

Ia menjangka kos akhir projek itu telah meningkat kira-kira A$4 juta kerana tuntutan subkontraktor dan lain-lain kos pengurusan projek, kata pelombong itu dalam laporan suku tahunannya yang dikeluarkan pada Selasa.

Ia berkata jumlah kos pada fasa pertama kilang di Malaysia itu adalah kira-kira A$652.8 juta.

Syarikat itu selesai membina fasa pertama kilang itu dalam masa tiga bulan hingga 30 Jun dan kini meneruskan kerja-kerja pengembangan projek itu, yang dijadualkan siap awal tahun depan.

Ia berkata program "kesediaan operasi" adalah 97 peratus siap pada akhir suku itu.

Lynas juga berkata keadaan makroekonomi di China kekal lembab kerana ia berkata harga nadir bumi telah merosot ketara daripada paras tahun lepas.

Lynas berkata Jepun, pasaran eksport terbesar dunia untuk nadir bumi, juga mengalami keadaan perkilangan yang lemah, didorong oleh permintaan yang lebih lemah pada sektor peralatan pengangkutan, kimia dan jentera.

Pengeluaran industro China tahun ini hanya mencatatkan 10.5 peratus pertumbuhan purata, jauh lebih rendah daripada kadar pertumbuhan 14.7 peratus sepanjang 10 tahun lepas, kata Lynas.

"Keadaan makroekonomi ini telah menyebabkan banyak syarikat pengguna nadir bumi menjalankan operasi mereka dengan inventori yang dikurangkan," kata syarikat itu.

"Pemulihan dalam aktiviti perkilangan global dijangka meningkatkan semula permintaan untuk nadir bumi.

Bagaimanapun, bila tarikh pemulihan ini akan berlaku masih tidak dapat ditentukan," tambahnya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain