suria

Pelancong Asing Ke Bali Meningkat Walaupun Krisis Ekonomi

JAKARTA: Krisis ekonomi yang melanda dunia tidak menjejaskan kehadiran pelancong asing di Bali yang mencatatkan peningkatan ketara.

Penolong Pengarah Pejabat Perwakilan Bank Indonesia Wilayah III Denpasar, Sunarto berkata peningkatan kehadiran pelancong itu adalah hasil promosi berterusan oleh pengusaha pelancongan di Bali.(Bank Indonesia (BI) adalah bank pusat republik itu.)

Ketibaan pelancong asing bagi tempoh Januari hingga Jun meningkat 7.73 peratus kepada 1.3 juta berbanding tempoh sama tahun lepas yang mencatat 1.2 juta.

Hampir 60 peratus iaitu 818,804 orang ialah pelancong yang tiba menerusi penerbangan terus dari negara di Asia Pasifik, manakala pelancong Eropah pula seramai 297,413 orang (21.71 peratus), diikuti Amerika 73,525 orang.

Pelancong Afrika pula seramai 8,246 orang dan Timur Tengah (4,019).

Peningkatan bilangan pelancong asing itu memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi Bali, yang dijangka tumbuh 6.3 peratus pada suku kedua 2012, lebih baik daripada tempoh sama pada tahun lalu yang mencatat pertumbuhan 6.09 peratus.

Pada suku pertama 2012, Bank Indonesia mengutip US$14.4 juta daripada hasil Visa on Arrival (VoA) menerusi pintu masuk Bali, berbanding tempoh sama tahun lepas sebanyak US$14.3 juta.

Laporan kajian ekonomi wilayah Bali bagi suku pertama 2012, menyebut sektor pelancongan merupakan penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi Bali dengan sumbangan sebanyak 32.38 peratus dan angka itu terus meningkat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain