suria

Pekerja Zoo Cedera Parah Dibaham Harimau

SANTIAGO: Seorang pekerja Zoo Metropolitan di Santiago cedera parah dibaham seekor harimau putih yang terlepas dari kawasan kurungan pada Ahad.

Bagaimanapun, haiwan tersebut ditembak mati oleh kakitangan zoo beberapa minit kemudian.

Jose Silva yang bekerja di zoo tersebut selama 25 tahun dikejarkan ke hospital berdekatan kerana mengalami pendarahan serius termasuk kecederaan di bahagian bahu.

Harimau putih itu yang diberi nama 'Pampa' menyerang Silva apabila Silva membuka kurungan untuk memberi makanan kepada haiwan berkenaan.

Pihak berkuasa zoo pantas bertindak selepas terdengar jeritan Silva dan menembak haiwan itu hingga mati.

"Kami berjaya menyelamatkan Silva dengan pantas. Dia dikejarkan ke hospital berdekatan dengan segera," kata Pengarah Zoo, Mauricio Fabre.

Menurutnya, pihak zoo akan menyiasat punca dan bagaimana haiwan itu boleh terlepas dari kawasan kurungan.

Harimau itu diambil dari Argentina tujuh tahun lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain