suria

Temasya Olimpik Catat Sejarah Sebagai Kawalan Keselamatan Terbesar Britain Masa Aman

LONDON: Kawasan keselamatan di temasya Sukan Olimpik 2012 di sini akan mencatat sejarah sebagai yang terbesar oleh Britain semasa waktu aman.

Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, beliau telah meletakkan keselamatan awam sebagai keutamaan paling tinggi di temasya ini.

Cameron berkata demikian dalam sidang akhbar di Taman Olimpik di timur London pada Khamis.

"Saya rasa kita telah meletakkan soal keselamatan awam di tempat yang utama dan bukan sahaja itu tetapi juga soal risikan dan lain-lain," ujarnya.

Kawalan keselamatan oleh lebih 40,000 anggota polis, tentera dan kakitangan awam disokong oleh rangkaian risikan yang canggih kini telah beroperasi sepenuhnya menjelang pembukaan Sukan Olimpik Jumaat ini.

Kerajaan terpaksa campur tangan dengan menambah anggota keselamatan ke perkampungan Olimpik selepas firma keselamatan G4S yang diberi kontrak untuk menyediakan kawalan keselamatan mengaku yang mereka tidak dapat memenuhi permintaan menyediakan 10,000 anggota keselamatan sepanjang temasya ini berlangsung.

Bagaimanapun perdana menteri telah memberi jaminan bahawa anggota polis ekstra akan ditempatkan di London, di udara dan di Sungai Thames sebagai langkah berjaga-jaga.

Pada 7 Julai 2005, sehari selepas London diumumkan sebagai hos Sukan Olimpik 2012, pengganas telah meletupkan rangkaian pengangkutan bandar raya itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain