suria

Pihak Berkuasa Lancarkan Siasatan Selepas Budak 11 Tahun Terbang Ke Rom Tanpa Pasport & Tiket

LONDON: Pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Manchester pada Rabu melancarkan siasatan rasmi selepas mendapati seorang budak berusia 11 tahun berjaya menyelinap masuk ke dalam pesawat menuju ke Rom tanpa pasport dan tiket.

Liam Corcoran berjaya berjalan masuk melepasi kawalan keselamatan tanpa menunjukkan sebarang dokumen perjalanan dan tiket penerbangan ke dalam pesawat Jet2.com yang menuju ke Rom pada Selasa.

"Ini adalah satu situasi yang tidak normal dan suatu kesalahan yang serius dan kami ingin benar-benar mengetahui bagaimanakah ia boleh berlaku," kata Menteri Pengangkutan Justine Greening kepada BBC.

Hakikatnya ialah Liam telah diimbas oleh kakitangan keselamatan tetapi mereka tidak sedar yang dia tidak membawa pasport serta pas masuk kerana dia kelihatan berada di dalam satu kumpulan keluarga yang turut menyertai penerbangan itu, lapor akhbar tempatan, Manchester Evening News.

Bagaimanapun ketika di dalam penerbangan, para penumpang lain mula menyedari yang kanak-kanak itu mengembara berseorangan dan mereka telah memaklumkan kepada kakitangan pesawat.

Kini beberapa kakitangan keselamatan lapangan terbang Manchester dan staf Jet2.com telah digantung tugas sementara menunggu siasatan penuh selesai.

Sementara itu, seorang jurucakap lapangan terbang memberitahu, Liam tidak dibenar meninggalkan pesawat sebaik sahaja mereka mendarat di Rom dan kembali dengan pesawat yang sama ke Manchester.

The Manchester Evening News melaporkan, Liam didapati telah melarikan diri daripada pandangan ibunya ketika mereka sedang membeli belah di Wythenshawe Civic Centre dan telah ke lapangan terbang Manchester seorang diri dengan menaiki bas.

Artikel Lain