suria

Perbalahan Etnik Di Assam Korbankan 38 Nyawa & 170,000 Orang Lagi Jadi Pelarian

GUWAHATI(India): Polis India telah menemui 12 lagi mayat yang mati berselerakan di sawah padi dan di tepi jalan di Negeri Assam pada Rabu - menjadikan jumlah kematian akibat perbalahan etnik meningkat kepada 38 orang dalam tempoh empat hari.

Pada masa yang sama sekurang-kurangnya 170,000 orang lagi menjadi pelarian apabila mereka meninggalkan kampung halaman menuju ke daerah yang lebih selamat.

Kerajaan pusat telah menghantar ketumbukan tentera ke kawasan yang mengalami kacau bilau yang meletus antara etnik Bodo dengan peneroka-peneroka Muslim.

Ketua Menteri Assam, Tarun Gogoi berkata, pembunuhan terbaru yang melibatkan 12 orang itu berlaku dalam satu malam.

Assam adalah satu-satunya negeri di India yang terkenal dengan pengeluaran teh dan ia bersempadan dengan Bhutan dan Bangladesh.

Gogoi ketika ditemui oleh agensi berita AFP, mengakui situasi perbalahan etnik di negerinya itu agak tegang buat masa ini.

The Press Trust of India melaporkan, perbalahan itu bermula apabila dua pelajar Muslim cedera parah ditembak di bandar Kokrajhar.

Ini kemudiannya bertukar kepada tindakan membalas dendam ke atas puak Bodo yang disyaki menjadi dalang di sebalik tembakan tersebut.

Artikel Lain