suria

Parlimen New Zealand Akan Undi Tentukan Perkahwinan Antara Pasangan Sejenis

WELLINGTON: Parlimen New Zealand akan mengundi bagi menentukan sama ada pasangan sejenis dibenarkan untuk mendaftar perkahwinan mereka secara sah dengan membentangkan rang undang-undang baru.

Agenda untuk perdebatan rang undang-undang baru itu telah pun dimasukkan ke dalam senarai sidang parlimen musim ini yang dijangka bersidang dalam tempoh dua bulan dari sekarang.

Undang-undang yang ada sekarang yang dibentuk pada tahun 1955 di bawah Akta Perkahwinan 1955 menyebut perkahwinan yang sah adalah di antara dua pasangan lelaki dan perempuan.

Bagaimanapun di bawah rang undang-undang baru ini, ia akan menyebut antara lain, perkahwinan yang sah adalah penyatuan di antara dua orang tidak kira apakah jantina mereka, orientasi seks mereka dan identiti gender mereka.

Adalah difahamkan, ahli-ahli parlimen akan diberi kebebasan untuk menentukan undian mereka mengikut kata hati dan bukannya terikat dengan polisi atau pendirian parti masing-masing.

Perdana Menteri, John Key telah dipetik sebagai berkata Mei lalu, bahawa beliau tidak akan menentang sebarang usaha untuk menghalalkan perkahwinan sejenis tetapi pada masa yang sama bukanlah menjadi satu keutamaan parti pimpinannya.

New Zealand buat masa ini hanya membenarkan pendaftaran secara sivil sahaja untuk pasangan gay berkahwin.

Bagaimanapun, pejuang rang undang-undang ini, Louisa Wall, yang juga merupakan ahli parlimen Parti Buruh yang mengaku secara terbuka yang dia adalah seorang gay menegaskan, perkahwinan sejenis perlu dimaktubkan di dalam perundangan untuk menjadikan masyarakat New Zealand lebih inklusif.

Artikel Lain