suria

Kabinet Thailand Lulus Pinjaman Mudah Bagi Pencegahan Banjir

BANGKOK: Kabinet Thailand meluluskan pinjaman mudah berjumlah 3.5 bilion Baht (kira-kira RM350 juta) untuk enam kawasan perindustrian bagi pembinaan kemudahan pencegahan banjir.

Timbalan Jurucakap kerajaan Chalitrat Chantarubeksa berkata enam kawasan perindustrian itu ialah Ladkrabang, Bang Chan, Bang Poo, Samutsakorn, Bangplee dan Pijit.

Pinjaman mudah itu membabitkan tempoh bayaran balik 15 tahun dengan kadar faedah 0.01 peratus dan tempoh lanjutan selama lima tahun.

Banjir selama enam bulan, yang terburuk dalam lima dekad, telah melanda kira satu pertiga negara ini, mengakibatkan 700 orang maut, beberapa kawasan perindustrian ditenggelami air dan menjejaskan kehidupan lima juta penduduk di 25 provinsi di utara dan tengah negara ini.

Selain itu, bencana alam itu turut menjejaskan bekalan automobil dan komponennya serta peralatan cakera liut.

Bank Dunia menganggarkan kerosakan akibat banjir itu kira-kira satu trilion Baht (kira-kira RM100 bilion) apabila keadaan banjir itu pulih pada Disember tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain