suria

Juruterbang Curi Pesawat Sebelum Bunuh Diri Di Utah

LOS ANGELES: Seorang juruterbang Amerika yang melarikan diri kerana disyaki melakukan pembunuhan, mencuri sebuah pesawat dan melanggar terminal lapangan terbang sebelum membunuh diri.

Brian Joseph Hedglin dikehendaki pihak berkuasa berhubung kes kematian di Colorado, minggu lalu membabitkan bekas rakannya, dilaporkan meloloskan diri memasuki Lapangan Terbang St George di Utah.

Juruterbang syarikat SkyWest berusia 40 tahun itu kemudian melarikan sebuah pesawat lalu merempuh deretan kenderaan dan sebahagian bangunan terminal yang kosong itu, demikian lapor stesen televisyen ABC4, pada Rabu.

“Kejadian berlaku ketika lapangan terbang berkenaan ditutup pada waktu malam. Pesawat SkyWest di Lapangan Terbang St.George Municipal di Utah terbabit dalam nahas di lapangan terbang," kata jurucakap syarikat penerbangan berkenaan.

Polis Colorado Springs dalam satu kenyataannya berkata, pegawainya melancarkan operasi memburu Hedglin pada Sabtu lalu sebaik menjumpai satu mayat yang dikenali sebagai Christina Cornejo, iaitu bekas rakan suspek.

Stesen ABC4 melaporkan, Hedglin bertindak membunuh diri selepas pesawat yang dipandunya itu merempuh bangunan terminal berkenaan kerana dipercayai tidak mahu dicekup polis. - AFP

Artikel Berikut

Artikel Lain