suria

India Akan Lancar Telefon Mudah Alih, Tablet Rajinikanth

NEW DELHI: Pengeluar telefon kelima terbesar India, Karbonn Mobiles, bekerjasama dengan Eros dan Mediaone untuk melancarkan telefon dan tablet edisi istimewa bagi filem terbaharu bintang filem terkenal India Selatan Rajinikanth 'Kochadaiyaan'.

Sebagai sebahagian daripada janji niaga dengan Eros dan Mediaone, syarikat itu akan mengeluarkan 500,000 telefon Kochadaiyaan di bawah penjenamaan mudah alihnya, demikian lapor Times of India.

Karbonn Mobiles dijangka melancarkan telefon dan tablet Rajinikanth sekitar September atau Oktober serentak dengan pelancaran muzik filem itu.

Produk peranti mudah alih dengan kandungan istimewa Kochadaiyaan termasuklah telefon, telefon pintar dan Karbonn Smarttab 1 yang baru dilancarkan.

Peranti itu akan mempunyai kandungan ekslusif seperti dialog, screensaver, imej, trivia dan runut bunyi filem itu, kata akhbar itu.

Selain itu, pembeli juga boleh menonton trailer filem tersebut di telefon mereka. India merupakan pengeluar filem terbesar di dunia dan juga mempunyai pasaran mudah alih yang besar.

Rajinikanth, yang akan berusia 62 pada 12 Dis, mempunyai pengikut bukan hanya di India, tetapi juga di seluruh dunia, termasuk Jepun dan Malaysia. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain