suria

Pesawat Garuda Tergelincir Ketika Mendarat Di Pekanbaru

JAKARTA: Sebuah pesawat jenis Boeing 737-800 milik syarikat penerbangan Garuda Indonesia tergelincir di hujung landasan ketika mendarat dalam keadaan hujan lebat di Lapangan terbang Sultan Syarif Kasim II, Pekanbaru, Riau, Selasa petang.

Pengurus Bertugas Lapangan Terbang berkenaan Ibnu Hasan mengesahkan kejadian itu namun pihaknya belum mendapat maklumat mengenai jumlah penumpang dan keadaan mereka.

Kejadian pada pukul 3.52 petang yang membabitkan pesawat dari Jakarta itu telah mengakibatkan penerbangan lain di lapangan terbang berkenaan terhenti sementara.

Sejurus selepas kejadian, pihak berkuasa di lapangan terbang itu mengumumkan melalui pembesar suara memaklumkan bahawa berlaku gangguan teknikal yang perlu ditangani secara prosedur dan akan mengambil masa yang tidak dapat ditentukan.

Seorang saksi (penumpang) berkata penumpang dalam pesawat itu tidak menyedari kejadian itu sehinggalah mereka mendengar pengumuman permohonan maaf daripada juruterbang kerana pesawat itu mendarat 10 meter melebihi landasan.

Penumpang itu berkata beliau terdengar bunyi dentuman yang cukup kuat dari dalam kabin penumpang sejurus selepas pesawat itu berhenti dengan kedudukan di atas rumput.

Laporan portal berita detik.com menyebut bahawa tayar pesawat yang membawa 12 anak kapal dan 150 penumpang itu terbenam ke dalam tanah dan kesemua penumpang termasuk Menteri Alam Sekitar Indonesia Balthasar Kambuaya serta anak kapal selamat. BERNAMA

Artikel Berikut

17 Cedera Disambar Petir

Artikel Lain