suria

PGPF Hantar 1.5 Juta Botol Air Mineral Ke Gaza Ramadan Ini

SABAK BERNAM: Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) bercadang menghantar 1.5 juta air mineral kepada penduduk Semenanjung Gaza di Palestin pada pertengahan Ramadan ini dalam usaha membantu penduduk kawasan itu yang kini berdepan cengkaman rejim zionis Isreal.

Pengurus projek PGPF Shamsul Azhar berkata penghantaran itu adalah di bawah program "WaqafWater4Gaza" (WW4G) yang dilancarkan tahun lepas bagi membantu menangani masalah kekurangan air bersih di kawasan itu.

"Kami akan ke sana pada minggu kedua bulan Ramadan ini dengan diketuai Pengerusi PGPF Tan Sri Norian Mai bagi mewakafkan sejumlah 1.5 juta botol air (500 ml setiap satu) sebagai simbol kepada 1.5 juta rakyat Palestin.

"Air mineral itu akan diedarkan di masjid dan surau di Gaza sebelum diagih kepada penduduk," katanya kepada Bernama selepas menghadiri program jelajah Keamanan WaqafWater4Gaza yang dirasmikan Setiausaha Politik Menteri Kewangan Datuk Mohd Shafei Abdullah di Politeknik Sultan Idris Shah di sini.

Beliau berkata sehingga kini, lebih 400,000 botol air minuman berjaya dijual untuk diwakafkan melalui program itu.

"Hasil jualan air itu, PGPF telah berjaya mengumpul kira-kira RM800,000 dan dengan dana yang ada ini, pihak kami akan membeli bekalan air botol di Mesir sebelum diagihkan ke Gaza," katanya.

Shamsul berkata dari segi logistik, cara ini jauh lebih mudah berbanding mengangkut 1.5 juta botol air dari Malaysia ke Gaza. "Saya sendiri melihat rakyat Gaza menapis air najis dengan selimut guni untuk mendapatkan air bersih. Ia menunjukkan betapa teruknya keadaan mereka," katanya.

Mengenai kempen jelajah itu, beliau berkata pihak yayasan menyasarkan pelajar universiti dan remaja bagi menyedarkan mereka mengenai konsep pengharaman peperangan.

"Ia juga bagi menunjukkan bahawa rakyat Malaysia begitu prihatin terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Zionis," katanya.

Terdahulu, Mohd Shafei merasmikan program itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain