suria

Parti Pimpinan Xanana Gusmao Menang Tapi Perlu Bentuk K'jaan Campuran Untuk Perintah

DILI: Parti pemerintah Timor Leste pimpinan Perdana Menteri, Xanana Gusmao hanya berjaya memenangi 30 kerusi parlimen dalam pilihan raya yang baru sahaja selesai dan terpaksa membentuk kerajaan campuran untuk terus kekal memerintah.

Parti CNRT pimpinan Gusmao itu hanya kekurangan tiga kerusi sahaja lagi untuk menang majoriti mudah dalam parlimen yang mempunyai 65 buah kerusi.

Parti Fretilin berada di tempat yang kedua dengan memperolehi 25 kerusi, demikian menurut angka rasmi terakhir yang disah dan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Timor Leste pada Jumaat.

Sebuah lagi parti iaitu Parti Demokratik (PD) yang merupakan sebahagian daripada kerajaan campuran penggal lalu sekadar mampu meraih lapan kerusi sahaja.

Dua lagi kerusi dimenangi oleh parti kecil, Frente-Mudanca.

Gusmao berkata, CNRT akan menentukan Ahad ini, parti manakah yang menjadi pilihan mereka untuk membentuk kerajaan campuran.

Seandainya CNRT gagal membentuk pakatan, presiden Timor Leste akan membuka laluan kepada Fretilin dan PD untuk berunding dan membentuk majoriti di parlimen.

Timor Leste yang sebelum ini dikenali dengan nama Timor Timur baru lebih sedekad merdeka daripada Indonesia.

Gusmao, 66, pernah dipenjarakan lebih 20 tahun oleh Kerajaan Indonesia kerana mengetuai pemberontakan menuntut kemerdekaan.

Indonesia mengambil alih pemerintahan di Timor Timur sebaik sahaja Kerajaan Portugis meninggalkan pulau itu pada tahun 1975.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain