suria

Penduduk Jakarta Pilih Gabenor Baru

JAKARTA: Penduduk Jakarta memilih gabenor baru pada Rabu menerusi pengundian untuk lima calon dengan dua daripadanya diramal meraih sokongan terbanyak untuk membawa undian ke pusingan ke-2.

Penyandang jawatan itu, Fauzi Bowo, yang kaya raya dan memiliki lukisan asli Van Gogh, berdepan lima pencabar lain termasuk Joko Widodo, Datuk Bandar Solo di wilayah Jawa Tengah yang popular.

Tinjauan pendapat meramalkan pertandingan akan menjadi persaingan antara Widodo dan Bowo, calon kegemaran yang disokong oleh Parti Demokratik pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Peninjau pendapat berkata, Joko dan Fauzi tidak akan mendapat undi majoriti dan memerlukan pusingan ke-2 undi untuk menentukan pemenang.

Kompas melaporkan, Joko meraih 42.61 peratus undi manakala Fauzi, 34.36 peratus diikuti Hidayat Nur Wahid (11.36 peratus) dan Faisal Basri, 5.05 peratus.

Calon memerlukan sokongan 50 peratus dalam pusingan pertama untuk mengelak daripada pengundian kedua.

Jakarta terkenal dengan kesesakan jalan raya teruk, banjir separas lutut dan infrastruktur lemah. Pengundian juga tidak berjalan lancar dengan laporan menyatakan seorang budak berusia 15 tahun mendakwa turut mengundi.

M Khadafi Muslim mengundi balai undi TPS 059 di Tanah Merah, Koja, Jakarta Utara. Peraturan menetapkan, pengundi mestilah berusia 17 tahun ke atas.

Bandar raya paling padat penduduk di Asia Tenggara itu – yang menyaksikan bangunan pencakar langit dibangunkan di kawasan setinggan tanpa kemudahan air paip – dicemari skandal rasuah dan sistem pengangkutan awam yang tidak cekap.

Sekurang-kurangnya 1,000 kenderaan baru bertambah setiap hari kepada hampir lapan juta yang sedia ada di atas jalan raya, yang memberi peluang kepada kanak-kanak dan pengemis mengetuk tingkap kereta yang jarang dapat bergerak ketika waktu puncak.

Menurut agensi persendirian, Persatuan Pengangkutan Indonesia, kesesakan dijangka menjadi lebih teruk menjelang 2014. -AFP

Artikel Lain