suria

Kaum Wanita Berarak Protes Hukuman Bunuh Ala Taliban

KABUL: Kaum wanita di Afghanistan telah keluar berarak di jalan-jalan raya di ibu negara ini pada Rabu membantah tindakan sekumpulan puak Taliban menembak mati seorang wanita yang dihukum bunuh kerana disyaki curang ke atas suaminya.

Hukuman tersebut yang dilakukan menggunakan mesingan telah dirakam dan dimuat naikkan menerusi laman youtube dan disaksikan di seluruh dunia.

Wanita berusia 22 tahun tersebut telah ditembak bertubi-tubi sehingga mati dan mereka yang menyaksikan hukuman tersebut telah bersorak kegembiraan.

Kejadian tersebut berlaku di sebuah perkampungan 100 kilometer dari ibu kota Afghanistan ini.

Sekumpulan kaum wanita yang memperjuangkan hak asasi wanita telah berarak memprotes kejadian itu di hadapan Kementerian Hal Ehwal Wanita di sini.

Mereka kemudian berarak menuju ke ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pula.

Seorang ahli parlimen wanita, Shinkai Karokhail yang turut menyertai perarakan itu mendesak pihak berkuasa menangkap lelaki yang bertanggungjawab membunuh wanita itu dan membawanya ke muka pengadilan.

"Ini adalah tanggungjawab kerajaan untuk memastikan keadilan ditegakkan di negara ini," katanya kepada agensi berita AFP.

Presiden Hamid Karzai turut mengutuk pelaksanaan hukuman tanpa bicara itu sebagai sesuatu yang tidak wujud dalam sejarah perundangan Islam.

Komander angkatan tentera NATO yang berjumlah 130,000 orang di Afghanistan, Jeneral John Allen telah menawarkan bantuan untuk turut memburu lelaki berkenaan kepada pihak berkuasa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain