suria

India Perlu Gelombang Kedua Perubahan

NEW DELHI: India memerlukan gelombang kedua perubahan ke atas ekonominya bagi mengembalikan trajektori pertumbuhan tinggi, kata Pengarah TATA Group Ishaat Hussain.

Kadar pertumbuhan 6.5 peratus yang dicatatkan pada 2011/12 adalah yang terendah dalam tempoh sembilan tahun, namun masih baik berbanding beberapa negara maju lain.

Ia bagaimanapun merupakan petunjuk jelas pertumbuhannya yang semakin perlahan.

"Terdapat iventori kereta yang semakin meningkat, pembangunan infrastruktur yang perlahan. Oleh itu, pertumbuhan kini menyederhana," kata Ishaat pada perbincangan sambil makan tengah hari khas Forum Ekonomi Dunia Islam mengenai Ekonomi India - Gambaran Menyeluruh di sini Rabu.

Beliau berkata kelembapan ekonomi dunia serta krisis zon euro, memberi impak ke atas kadar pertumbuhan India dan dalam negara, kadar inflasi yang tinggi selain langkah dasar dalam menanganinya, dipersalahkan.

"Kita tidak terlindung daripada faktor luaran dan pada masa yang sama kita juga mempunyai paras harga pengguna yang tinggi, iaitu melepasi 10 peratus.

"Kerajaan baru-baru ini berkata beban memerangi inflasi perlu dikongsi bersama. Namun pada pandangan saya, langkah bukan monetari dalam memerangi inflasi merupakan teras untuk pertumbuhan India.

"Untuk itu, gelombang kedua perubahan diperlukan, terutama dalam sektor pertanian, memandangkan 52 peratus daripada penduduk bergantung kepada sektor itu," katanya.

Di India, subsidi iaitu 19 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dan berkait rapat dengan politik, merupakan isu yang perlu ditangani dengan berani.

India juga perlu memastikan jaminan tenaga bukan sahaja dari segi daya maju sumber, malah mencari tukar asing mencukupi untuk membayarnya.

Tata merupakan antara konglomerat terbesar India yang mempunyai operasi antarabangsa yang luas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain