suria

Tiger Airways Dapat Kembali Keyakinan Orang Ramai

MELBOURNE: Penerbangan tambang murah Tiger Airways berkata syarikat kini berjaya memenangi kembali keyakinan pihak berkuasa dan orang ramai yang menggunakan penerbangan, selepas setahun syarikat itu tidak dibenarkan terbang atas alasan keselamatan.

Pihak Berkuasa Keselamatan Penerbangan Awam (CASA) mengarahkan 10 pesawat Airbus A320 Tiger Airways tidak digunakan untuk penerbangan pada 2 Julai 2011, dengan menyatakan bahawa ia percaya dengan membenarkan syarikat penerbangan terus terbang akan menimbulkan risiko yang serius dan mengancam keselamatan udara.

Bercakap di Sydney, Ketua Eksekutifnya Andrew David berkata orang ramai dan pengawal selia telah menunjukkan keyakinan mereka terhadap syarikat penerbangan itu.

Lebih sejuta penumpang domestik telah kembali menggunakan perkhidmatan Tiger sejak ia menyambung semula operasi pada 12 Ogos, kata beliau yang dilaporkan oleh Australian Associated Press.

"Sejuta orang telah menggunakan penerbangan kami," katanya.

"Pengawal selia amat gembira dengan kemajuan kami. Kami telah meluangkan banyak masa bagi mendapat operasi yang betul," kata David.

Beliau berkata Tiger belajar daripada kesilapan dan mengambil langkah-langkah untuk memastikan ia mempunyai budaya keselamatan yang kukuh. - BERNAMA

Artikel Lain