suria

Dua Maut Hujan Lebat Di Filipina

MANILA: Dua orang terbunuh apabila tembok runtuh akibat hujan lebat yang melanda bandar Filipina pada Selasa, juga menyebabkan banjir bersama sampah-sarap yang menyumbat parit dan sistem pembetung di bandar ini, menurut pegawai.

Banjir aras pinggang menenggelamkan kawasan rendah di Manila selepas air di empangan berhampiran bandar melimpah sehingga memaksa pintunya dibuka, kata Anna Orallo dari Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan.

Bandar ini mencatatkan kematian pertama akibat cuaca, pada awal Selasa apabila dua penduduk pinggir bandar di utara Manila mati selepas "tembok batu di sebelah rumah mereka runtuh kerana hujan", kata Orallo kepada AFP.

Pasukan penyelamat telah dikerahkan di seluruh bandar untuk menyediakan bantuan dalam banjir yang berkemungkinan bertambah buruk, kata Francis Tolentino, Ketua Lembaga Pembangunan Metro Manila.

Tolentino menyalahkan sampah yang dibuang ke dalam longkang dan pembentung, menyebabkan laluan air tersumbat dan akhirnya mengakibatkan banjir buruk.

"Sampah adalah punca utama banjir kami. Seluruh negara perlu mencari jalan untuk mengurangkan sampah," katanya dalam satu wawancara dengan televisyen ABS-CBN.

Sekurang-kurangnya tujuh penerbangan domestik dibatalkan disebabkan cuaca buruk.

Artikel Lain