Teknologi Pengurusan Sempadan Capai Kemajuan Di Kemboja, Vietnam - Dunia | mStar

Teknologi Pengurusan Sempadan Capai Kemajuan Di Kemboja, Vietnam

JAKARTA: Kemboja dan Vietnam kini boleh mengendalikan dengan segera pencarian tepat masa menerusi pangkalan data global Interpol, suatu penyelesaian teknikal yang dibangunkan oleh Interpol.

Pada masa ini, pangkalan data ini memuatkan lebih 30 juta entri dari lebih 150 negara, termasuk maklumat mengenai dokumen perjalanan yang dicuri dan hilang.

Selepas hanya beberapa bulan, sistem pertukaran maklumat berasaskan IT Interpol ini mula menampakkan hasil dan beberapa penjenayah yang dikehendaki berjaya dikesan di kawasan sempadan antara Kemboja dan Vietnam dan mereka kini menjalani prosedur perundangan, kata Sektretariat Asean dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Sistem pertukaran maklumat Interpol adalah projek usahasama Kesatuan Eropah (EU) dan Asean, dibiayai oleh EU dan dilaksanakan oleh Interpol.

Menerusi projek itu, 16 lokasi perintis di pedalaman Kemboja dan Vietnam kini dihubungkan kepada sistem keselamatan komunikasi global Interpol, terdiri daripada 12 pintu kawalan sempadan dan dua pejabat polis serantau.

Selaku negara perintis projek ini, Kemboja dan Vietnam menggesa kepada perluasan sistem pertukaran maklumat Interpol untuk melibatkan negara anggota Asean yang lain, menurut kenyataan itu.

Minggu lepas, Jabatan Keselamatan Pusat Kemboja menganjurkan majlis sebagai menandakan berakhirnya projek itu dengan jayanya.

Sistem IT yang dibangunkan Interpol adalah satu daripada tiga komponen di bawah Program Pengurusan Migrasi dan Sempadan EU-Asean.

Program empat tahun itu bermatlamat menyokong pembangunan Sistem Pengurusan Sempadan Bersepadu (IBMS) dalam usaha melancarkan pergerakan sah barangan dan manusia, dan memerangi dengan lebih baik jenayah rentas negara, migrasi secara tidak sah dan pemerdagangan orang.

Ini adalah program serantau paling penting berkaitan pengurusan sempadan di Asean dengan mendapat sokongan pembiayaan daripada EU. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain