suria

Dua Peratus Pangsapuri Di Sydney Dibeli Pelabur Indonesia

JAKARTA: Sebanyak dua hingga tiga peratus daripada jumlah perbelanjaan pembangunan projek pangsapuri V di Sydney, Australia berharga 300 juta dolar Australia, yang majukan syarikat hartanah Crown Group, dibeli oleh pelabur dari Indonesia dan Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Crown Group (CEO) Iwan Sunito berharap angka itu akan meningkat antara 10 dan 15 peratus pada pembangunan seterusnya.

Konsep pangsapuri V, iaitu pangsapuri "kampung vertikal", dilancarkan secara rasmi di pasaran Australia pada minggu lepas.

Pangsapuri di Sydney itu merupakan pilihan pelaburan yang tepat, lebih-lebih lagi disokong oleh ekonomi Australia yang kuat dan stabil, katanya di Jakarta, Khamis.

Iwan berkata permintaan untuk peluang pelaburan perumahan di pasaran Sydney telah mengalami kenaikan yang tinggi, namun kurang diimbangi oleh penawaran pangsapuri yang mempunyai reka bentuk yang menarik pada harga yang tepat.

"Perkara itu merupakan salah satu keunggulan yang membezakan Crown Group dengan pemaju yang lain dalam memenuhi keinginan pelabur sehingga menarik minat para pelabur dari luar Australia," kata Iwan.

Beliau menjelaskan bahawa pangsapuri V milik Crown Group itu terdiri daripada bangunan 27 tingkat dengan 466 unit pangsapuri mewah, sebuah resort bergaya kolam renang, pusat kecergasan, ruang persidangan serta ruang pejabat premium dan ruang peruncitan yang berkualiti.

Iwan berkata bangunan pangsapuri itu dirancang oleh arkitek antarabangsa yang telah memenangi banyak penghargaan, Allen Jack + Cottier (AJ+C) yang bekerjasama dengan arkitek berketurunan Jepun dan Australia Koichi Takada.

Sebelum ini pada 17 April lepas, Iwan menawarkan pelaburan di Indonesia untuk projek pembangunan tanah di Sydney yang bernilai kira-kira Rp25 trilion.

Projek berkenaan terdiri daripada 11 projek yang didominasi oleh pembangunan perumahan kira-kira 90 peratus serta pembangunan pusat membeli-belah dan ruang pejabat.

Salah satu projek terpenting ialah pembangunan 650 unit pangsapuri bernilai Rp5 trilion di atas salah sebuah pusat membeli-belah terbaharu dan terbesar di Australia, Top Ryde City Living, kata Iwan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain