suria

Permohonan NASA Gunakan Pangkalan Udara U-Tapao Dimajukan Ke Parlimen Thailand

BANGKOK: Kerajaan Thai membuat keputusan untuk memajukan ke Parlimen permohonan oleh agensi angkasa Amerika berhubung penggunaan pangkalan udara U-tapao di Rayong bagi kajian iklim serantau meskipun agensi berkenaan menetapkan hari ini sebagai tarikh akhir memberi jawapan.

Menteri Luar Surapong Tovichakchaikul hari ini berkata mesyuarat Kabinet di sini bersetuju bahawa mekanisme Parlimen seharusnya digunakan untuk memperjelaskan perkara itu kepada masyarakat Thai sebelum sebarang keputusan dibuat.

Sesi Parlimen berikutnya ialah pada Ogos ini.

"Kabinet tidak meluluskan permohonan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) disebabkan pembangkang menyalahkan kerajaan kerana tidak melindungi kepentingan negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di sini.

Surapong bagaimanapun tidak pasti sama ada NASA akan menjalankan kajian itu yang dikenali sebagai Kajian Serantau Gandingan Awan, Iklim, Komposisi Asia Tenggara (SEAC4RS) di Thailand pada masa depan susulan perkembangan Selasa.

NASA telahpun memaklumkan kepada kerajaan Thai bahawa permohonannya itu akan ditarik balik jika kerajaan Thailand tidak dapat memberi jawapan selewat-selewatnya hari ini, memandangkan agensi itu perlu membawa peralatannya masuk terlebih dahulu sebelum menjalankan kajian itu dari Ogos hingga September.

Isu itu menjadi kontroversi apabila parti pembangkang Democrat mendakwa bahawa kerajaan Thai mempersetujui permohonan itu sebagai pertukaran bagi visa kemasukan ke Amerika Syarikat kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, namun dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh pentadbiran adik perempuannya, Yingluck.

"Kerajaan Thai tidak ada agenda tersembunyi," kata Surapong.

Penentang projek itu turut bimbang kemungkinan kedaulatan wilayah Thailand dicabuli dan mendakwa kelulusan Parlimen diperlukan terlebih dahulu, manakala sesetengah pihak turut berpendapat projek NASA itu mungkin membangkitkan kebimbangan berhubung pengintipan terhadap jiran Thailand memandangkan ia melibatkan penerbangan dari altitud tinggi.

Kerajaan, sebaliknya, berpendapat Thailand akan meraih manfaat saintifik daripada projek itu yang dapat membantu dalam keupayaan meramal cuaca, lebih-lebih lagi selepas negara itu mengalami banjir buruk yang melanda satu pertiga daripada negara ini tahun lepas.

Komuniti saintifik Thai sesungguhnya percaya bahawa Thailand akan kehilangan peluang yang sangat besar untuk menambah baik ilmu pengetahuan berkaitan atmosfera sekiranya NASA membatalkan atau memindahkan kajian itu ke tempat lain.

Surapong percaya perkembangan itu tidak akan menjejaskan hubungan mesra Thai-Amerika dan akan memberi penjelasan mengenai perkara itu kepada Kedutaan Amerika di sini. - BERNAMA

Artikel Lain