suria

Suaka: Abbott Digesa Timbang Semula Sokongan Perjanjian Dengan Malaysia

MELBOURNE: Ketua Pembangkang Australia Tony Abbott didesak menimbang supaya memberi sokongan kepada perjanjian pertukaran pelarian dan pemohon suaka dengan Malaysia bagi mengelak lebih ramai pencari suaka menemui ajal di lautan.

Anggota Parlimen Dr Mal Washer dari Parti Liberal pimpinan Abbott, telah menggesa kerajaan dan pembangkang supaya 'meletakan kesopanan lebih daripada politik' dan mencapai penyelesaian rundingan mengenai pemprosesan luar pesisir.

Gesaan itu dibuat berikutan lebih banyak mayat ditemui hari ini selepas sebuah bot yang sarat dengan hampir 200 pencari suaka karam dalam keadaan cuaca buruk di perairan barat laut Kepulauan Christmas, Jumaat.

Kira-kira 90 pencari suaka masih belum ditemui manakala 109 orang termasuk seorang budak lelaki berusia 13 tahun diselamatkan.

Setakat ini, pihak mencari dan menyelamat telah menemui tiga mayat.

"Biar kita letakkan semula perjanjian itu di atas meja," kata Dr Washer yang dipetik oleh akhbar The Australian.

Rakannya Russell Broadbent membayangkan beliau berada dalam keadaan berbelah-bagi mengenai isu perjanjian dengan Malaysia itu dan akan membuat kenyataan lanjut Isnin ini.

Dua anggota Parlimen bebas yang berpengaruh mencabar parti Abbott dan parti kerajaan untuk mengadakan satu pendekatan bagi membolehkan pemprosesan pelarian luar pesisir dapat dilaksanakan.

Anggota Parlimen bebas Rob Oakeshott dan Tony Windsor berkata sudah tiba masa untuk menghentikan kebuntuan politik bagi mengelak lebih ramai pencari suaka mati di lautan.

Oakeshott menuduh pembangkang sebagai penghalang utama kepada suatu perjanjian (dengan Malaysia), sambil berkata prospek penyelesaian telah terjejas oleh keinginan sesetengah pihak.

Pada Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Australia memutuskan perjanjian berhubung urusan pertukaran pencari suaka antara Canberra dan Putrajaya sebagai tidak sah.

Mahkamah itu berkata Menteri Imigresen Chris Bowen tidak mempunyai kuasa untuk menghantar pencari suaka ke Malaysia kerana negara itu tidak mempunyai obligasi perundangan untuk melindungi mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain