suria

Hamid Karzai Beri Amaran Serangan Akan Meningkat Di Afghanistan Menjelang Penarikan Tentera Asing

KABUL: Presiden Afghanistan, Hamid Karzai memberi amaran bahawa serangan ke atas pihak keselamatan awam tempatan akan meningkat secara mendadak menjelang penarikan diri tentera pengaman Nato sepenuhnya pada tahun 2014.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada tiga serangan berani mati pihak militan ke atas tentera Afghan dan Nato sepanjang minggu ini sahaja.

Kenyataan itu meninggalkan kesan negatif sama ada tentera Afghanistan benar-benar bersedia untuk mengambil alih kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh 130,000 tentera pelbagai negara di bawah Nato sekarang.

Presiden Hamid memberi amaran demikian dalam satu sidang khas parlimen sehari selepas puak Taliban mengebom satu pos kawalan mengorbankan 21 orang.

"Saya dapat melihat sejak sebulan dua ini, serangan ke atas tentera dan polis Afghan semakin meningkat.

"Setiap hari 20 hingga 25 anggota tentera atau polis menjadi mangsa serangan dan mereka yang terkorban ini telah melakukan satu pengorbanan yang sangat besar kepada bangsa dan negara," katanya.

Puak Taliban telah diguling pada 2001 dan sejak itu mereka melancarkan serangan berani mati ke atas pasukan tentera serta bangunan kerajaan dengan harapan akan melemahkan pentadbiran yang ada sekarang.

Hamid Karzai mengakui bahawa kerajaannya dan juga rakan mereka dari Barat telah gagal membawa keamanan di Afghanistan.

"Rumah dan rakyat negara ini tidak pernah selamat daripada ancaman bom...kerajaan Afghan dan pihak antarabangsa yang sedang menentang keganasan sekarang tidak dapat memberi jaminan keselamatan kepada mana-mana warga Afghan buat masa ini," kata presiden itu lagi.

Presiden itu yang akan tamat perkhidmatannya menjelang 2014, menegaskan, kerajaannya akan menerima bantuan AS$4.1 bilion setiap tahun daripada masyarakat antarabangsa untuk memperkukuhkan kawasan keselamatan sehingga tahun 2024.

"Dalam hubungan ini, saya ingin memberi jaminan bahawa Afghanistan akan memperkukuhkan kawalan keselamatan rakyatnya walaupun terpaksa memakan rumput atau tanpa bantuan kewangan antarabangsa," tegas Hamid.

Artikel Lain