suria

Kajian Lanjut Perlu Bagi AS Guna Pangkalan Udara U-Tapao

PATTAYA: Kerajaan Thailand akan menjalankan kajian lanjut terhadap cadangan Amerika Syarikat untuk menggunakkan pangkalan udara U-tapao di Rayong sebagai pangkalan tetap bagi kajian iklim serantau dan operasi bantuan bencana dan kemanusiaan.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berkata kerajaan akan melantik jawatankuasa bagi mengkaji cadangan tersebut walaupun niat dan tujuan permintaan itu adalah baik.

"Jika ada keperluan untuk Parlimen meneliti perkara itu, kita akan berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet sini, Selasa.

Katanya mesyuarat itu tidak membincangkan cadangan itu kerana kajian lanjut perlu dibuat sebelum Kabinet membincangkan perkara itu.

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat ingin menggunakan pangkalan udara U-tapao sebagai pusat operasi bantuan bencana dan kemanusiaan manakala Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mahu menggunakan kemudahan itu bagi menjalankan kajian iklim serantau.

Yingluck berkata pasukan keselamatan Thailand tidak membantah cadangan Amerika Syarikat itu.

Semalam, Yingluck mempengerusikan mesyuarat bersama Timbalan Perdana Menteri Yutthasak Sasiprapa, yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal keselamatan, Menteri Pertahanan Sukumpol Suwanatat, Menteri Luar Surapong Tovichakchaikul dan pemimpin tentera bagi membincangkan perkara itu di sini.

Menjawab satu pertanyaan, Yingluck berkata: "Sudah tentu kita perlu melihat kepada keselamatan dan kepentingan negara terlebih dahulu tetapi pada masa sama kita juga perlu mengekalkan hubungan antarabangsa."

Thailand merupakan salah satu sekutu utama Amerika Syarikat di rantau ini khususnya semasa Perang Vietnam dengan membenarkan tentera Amerika menggunakkan kemudahan penting dan masih mengekalkan hubungan mesra.

Yingluck berkata kerajaan telah memperjelaskan situasi itu kepada kerajaan Amerika Syarikat dan mereka akan memahaminya.

Cadangan itu menimbulkan kontroversi apabila parti pembangkang, Demokrat, mendakwa kerajaan Thailand bersetuju sebagai pertukaran untuk visa ke Amerika Syarikat bagi bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra walaupun pentadibiran Yingluck menafikannya.

Cadangan itu menerima bantahan kerana ia mungkin menceroboh kedaulatan wilayah dan perlu mendapatkan kelulusan Parlimen terlebih dahulu.

Manakala ada pihak berpendapat projek NASA mungkin menimbulkan kebimbangan pengintipan ke atas negara jiran kerana ia membabitkan penerbangan altitud tinggi.

Beberapa pemerhati juga bimbang projek itu boleh dilihat sebagai usaha menangani kehadiran tentera China yang semakin meningkat di rantau Asia Pasifik. - BERNAMA

Artikel Lain