suria

Anggota Sambut Baik Kanada Dalam Rundingan Perjanjian Kerjasama Rentas Pasifik

SINGAPURA: Anggota Perjanjian Perkongsian Rentas Pasifik (TPP), Australia, Brunei Darussalam, Chile, Malaysia, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam pada Rabu menerima kemasukan Kanada sebagai peserta baharu dalam rundingan untuk memuktamadkan perjanjian itu.

Menteri Perdagangan New Zealand, Tim Groser dalam satu kenyataan bagi pihak sembilan anggota lain, berkata mereka yakin penyertaan Kanada dalam rundingan itu akan menyumbang secara objektif dalam mewujudkan perjanjian Abad ke-21 itu.

"Anggota TPP sedia ada, menerima baik komitmen Kanada untuk merealisasikan matlamat bersama bagi perjanjian menyeluruh generasi akan datang, yang konsisten dengan kenyataan yang dibuat oleh Pemimpin TPP dan Menteri-menteri Perdagangan di Honolulu, November lepas.

"Kami tidak sabar lagi untuk bekerja bersama-sama Kanada ketika kami berusaha untuk memuktamadkan pakej seimbang dan menyeluruh, dengan mengambil kira kepelbagaian tahap pembangunan kami.

"Anggota TPP yang sedia ada kini menyelesaikan prosedur undang-undang domestik, yang mana terpakai, selepas Kanada secara rasminya menyertai dan mengambil bahagian dalam rundingan," katanya.

Dalam menyambut penyertaan Kanada, Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura berkata Kanada akan menjadi rakan bermakna dalam menyediakan perjanjian berkualiti tinggi dalam menyemarakkan pertumbuhan ekonomi merentas Asia Pasifik.

Kanada ialah antara ekonomi terbesar dunia dan merupakan negara industri utama.

Selepas menerima penyertaan Mexico untuk menyertai rundingan TPP semalam, kemasukan Kanada akan menjadikan keanggotaan TPP kepada 11 negara.

TPP bermatlamat menjadi perjanjian terangkum, yang akan menjurus kepada mewujudkan Asia Pasifik sebagai Kawasan Perdagangan Bebas. - BERNAMA

Artikel Lain