suria

Perintah Darurat Di Selatan Thai Dilanjutkan

BANGKOK: Perintah darurat di tiga wilayah selatan Thailand yang bergolak dilanjutkan selama tiga bulan lagi.

Timbalan jurucakap kerajaan Anusorn Lamsaart berkata mesyuarat kabinet hari ini bersetuju untuk melanjutkan perintah itu dari 20 Jun hingga 19 September di Pattani, Yala dan Narathiwat.

Beliau berkata Majlis Keselamatan Negara merasakan bahawa tempoh itu perlu disambung walaupun pada keseluruhannya situasi bertambah baik.

Perintah darurat diperkenalkan di tiga wilayah itu sejak 2004 dan sejak itu ia disambung setiap tiga bulan.

Lebih 5,000 orang terbunuh apabila kumpulan pemisah memulakan semula kempen bersenjata bagi menuntut kemerdekaan di tiga wilayah itu lapan tahun lepas.

Beliau berkata pihak berkuasa akan menilai situasi di setiap kawasan sejak tiga bulan lepas dan dalam tempoh tiga bulan lagi bagi membuat pertimbangan sama ada menarik balik perintah darurat di kawasan tertentu yang keadaan keselamatannya bertambah baik. - BERNAMA

Artikel Lain