suria

Lelaki Nepal Yang Dipenjara 15 Tahun Bebas Selepas Sabitan Kes Ditarik Balik

TOKYO: Media melaporkan seorang lelaki warga Nepal yang meringkuk selama 15 tahun di penjara Jepun pulang ke negara asalnya pada Jumaat selepas sabitan terhadapnya bagi kes bunuh berprofil tinggi ditarik balik.

Jiji Press berkata, Govinda Prasad Mainali, 45, berlepas dari lapangan terbang Narita untuk ke Nepal menerusi Bangkok selepas mahkamah Tokyo pada minggu lepas memerintahkan perbicaraan semula bagi kes bunuh pada tahun 1997 itu.

Mainali telah diusir keluar oleh pejabat imigresen Jepun selepas dia disabitkan kesalahan kerana menyalahgunakan visa dengan menetap lebih masa.

Dia tidak menjangkakan untuk menghadirkan diri ke perbicaraan semula itu.

Dia disabitkan bersalah atas tuduhan mencekik seorang wanita Jepun berusia 39 tahun sehingga mati pada Mac 1997 dan menerima hukuman penjara seumur hidup, tetapi Mahkamah Tinggi Tokyo memerintahkan ujian DNA yang mendedahkan bahawa air mani yang dijumpai dalam badan mangsa bukan miliknya.

Kes berkenaan menarik perhatian media terutama akhbar tabloid di mana mangsa dikatakan menjalani dua kehidupan di mana menjadi seorang usahawan pada sebelah siang dan sebagai pelacur pada waktu malam.

Paparan televisyen menunjukkan Mainali memakai pakaian sut sewaktu dia menaiki pesawat untuk pulang ke negara asalnya bersama isteri dan dua anaknya, tanpa memberi maklum balas terhadap soalan-soalan yang diajukan oleh para wartawan. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Lain