suria

Nafsiah Mboi Menteri Kesihatan Indonesia Baru

Nafsiah Mboi. Foto Zimbo.com
Nafsiah Mboi. Foto Zimbo.com
Nafsiah Mboi. Foto Zimbo.com

JAKARTA: Aktivis kesihatan yang juga doktor pakar kanak-kanak, Nafsiah Mboi pada Rabu dinamakan sebagai Menteri Kesihatan Indonesia yang baru.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengumumkan bahawa Nafsiah Mboi akan mengisi kekosongan jawatan Menteri Kesihatan berikutan kematian penyandang sebelum ini, Endang Rahayu Sedyaningsih.

Dalam pengumuman yang dibuat di Istana Bogor itu, Yudhoyono juga menamakan Profesor bidang Teknik Minyak dan Gas Institut Teknologi Bandung (ITB) Rudi Rubiandini sebagai Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral yang baru, bagi menggantikan Widjajono Partowidagdo, yang meninggal dunia.

Pensyarah kanan bidang ekonomi Universiti Indonesia, Muhammad Chatib Basri pula dinamakan Ketua Badan Penyelarasan Penanaman Modal yang baru, menggantikan Gita Wiryawan, yang dilantik Menteri Perdagangan Oktober lalu.

Sementara itu, bekas Peguam Negara, Hendarman Supandji dinamakan sebagai Ketua Badan Tanah Nasional yang baru, bagi menggantikan Joyo Winoto.

Mereka akan dilantik oleh Yudhoyono ke jawatan masing-masing pada Khamis dan terus memulakan tugas. - BERNAMA

Artikel Lain