suria

Mubarak Bimbang Doktor Penjara Mahu Dia Mati – Peguam

KAHERAH: Keadaan Hosni Mubarak kini stabil tetapi peguam beliau berkata, bekas presiden yang berusia 84 tahun itu tidak mempercayai doktornya di hospital penjara dan bimbang mereka akan mencuba untuk membunuhnya.

Terdapat laporan yang bercanggah mengenai keadaan Mubarak sejak mahkamah pada 2 Jun lalu menjatuhkan hukuman terhadap beliau kerana gagal menghalang pembunuhan penunjuk perasaan dalam menggulingkan beliau pada tahun lepas.

Beliau disabitkan hukuman penjara seumur hidup.

Sejak meringkuk dalam penjara, Mubarak yang berusia 84 tahun itu mengalami tekanan darah tinggi dan kesukaran untuk bernafas serta didiagnosis sebagai tekanan yang melampun, menurut pegawai keselamatan di penjara Torah.

Dalam satu program televisyen lewat malam Isnin, peguam Mubarak, Farid el-Deeb berkata, beliau ditanyakan mengenai kebimbangan apabila pihak berkuasa mahu memindahkan Mubarak ke hospital tentera yang dilengkapi kemudahan lebih baik berikutan keadaannya yang tenat.

El-Deeb melukis sekeping gambar seorang lelaki paranoid yang tidak mempercayai pasukan perubatan dan sering kali melawan arahan mereka.

Beliau berkata demikian di CBC, sebuah stesen televisyen swasta.

“Mubarak tidak lagi percaya kepada sesiapa. Beliau terkejut apabila mengetahui terdapat doktor baru yang akan merawatnya, bukan yang pernah merawatnya sebelum ini, dan ini menyebabkan beliau takut menerima arahan daripada sesiapa.

“Beliau tidak mengenali muka-muka di sekelilingnya. Ia menjadi satu masalah yang besar buat beliau,” kata El-Deeb.

Pada satu tahap, Mubarak memberitahu peguamnya bahawa beliau takut doktor yang merawatnya akan membuat cubaan untuk membunuh.

“Tolong saya Farid,” kata beliau dengan nada yang lemah,” kata El-Deeb yang mengulangi apa yang diperkatakan oleh Mubarak: “Saya tidak selesa dan tidak berasa selamat. Saya berasa mereka diarahkan untuk membunuh saya.” - AP

Artikel Lain