suria

Ramai Rakyat Indonesia Tidak Percaya Rokok Memudaratkan Kesihatan

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menghadapi masalah untuk melaksanakan program antimerokok kerana ramai rakyat negara itu tidak percaya tabiat itu memberi kesan buruk terhadap kesihatan.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan bagi kesihatan persekitaran dan kawalan penyakit, Tjandra Yoga Aditama berkata, merokok juga menjadi budaya bagi sesetengah orang dan tabiat itu tidak mempunyai kaitan dengan kedudukan ekonomi atau kerjaya mereka.

Katanya, ramai rakyat berpendapatan rendah merokok dan jumlah wang yang mereka belanja untuk tujuan ini melebihi bantuan Rp100,000 (RM33.50) sebulan yang mereka terima daripada kerajaan.

"Masih ramai yang meragui bukti saintifik mengenai kesan buruk merokok terhadap kesihatan dengan memberi alasan 'seorang perokok di kampung saya masih hidup hingga berumur 97 tahun," katanya yang dipetik akhbar harian berbahasa Inggeris Jakarta Globe pada Isnin.

Tjandra berkata, untuk mengatasi masalah itu, program antimerokok perlu dilaksanakan dengan menggunakan bukti saintifik yang kukuh mengenai kesan merokok terhadap kesihatan, ekonomi dan keadaan sosial.

Laporan itu juga memetik kajian Institut Demografi Universiti Indonesia pada 2009 yang menunjukkan 57 peratus daripada isi rumah paling miskin di Indonesia menggunakan sebahagian pendapatan mereka untuk membeli rokok.

Artikel Berikut

Artikel Lain