suria

Penyedia Penjagaan Kesihatan Di Indonesia Diberi Amaran Mengenai Penyusuan Bayi

JAKARTA: Penyedia penjagaan kesihatan di Indonesia diberi amaran bahawa mereka boleh dikenakan sekatan jika tidak menggalakkan ibu yang baru melahirkan anak memberi susu badan kepada bayi masing-masing.

Ketua pengarah kesihatan mengenai pemakanan dan kesihatan ibu dan anak, Slamet Riyadi Yuwono berkata para ibu perlu memberi susu badan kepada bayi mereka selama enam bulan selepas dilahirkan, melainkan atas sebab kesihatan dan kecemasan.

"Sedapat mungkin, sejurus selepas sesuatu kelahiran, petugas penjagaan kesihatan dan pusat penjagaan kesihatan diwajibkan membantu para ibu mula memberi susu badan kepada bayi masing-masing, sekurang-kurangnya selama satu jam," kata beliau yang dipetik akhbar berbahasa Inggeris The Jakarta Post, Sabtu.

Peraturan kerajaan mengenai penyusuan ibu yang dikeluarkan pada 1 Mac mewajibkan petugas dan pusat penjagaan kesihatan menggalakkan para ibu memberi susu badan kepada bayi masing-masing serta mengenakan syarat ketat mengenai penggunaan susu formula untuk bayi.

Peraturan itu diumumkan sejajar dengan pelaksanaan Undang-undang Kesihatan 2009 yang memperuntukkan bahawa setiap kanak-kanak berhak diberi susu badan dalam tempoh enam bulan pertama selepas dilahirkan untuk membantu mereka mencapai pertumbuhan optimal, kecuali atas sebab kesihatan.

Mengikut peraturan itu, petugas penjagaan kesihatan yang enggan menggalakkan pemberian susu ibu seperti yang disyaratkan, boleh dikenakan sekatan pentadbiran dalam bentuk amaran lisan, amaran bertulis, dan/atau pembatalan lesen.

Pengeluar dan pengedar produk yang melanggar peraturan itu juga boleh dikenakan sekatan atau diberi amaran.

Laporan itu juga menyebut bahawa kerajaan sedang mengkaji peraturan yang akan dikenakan terhadap petugas penjagaan kesihatan dan pengeluar susu formula untuk bayi, yang tidak menggalakkan para ibu memberi susu badan kepada bayi mereka.

Kaji Selidik Sosioekonomi Kebangsaan (Susenas) 2004-2010 mendapati bayi berusia enam bulan yang diberi susu badan pada 2010 ialah 33.6 peratus daripada jumlah keseluruhan, menurun daripada 34.3 peratus pada 2009. - BERNAMA

Artikel Lain