suria

Penarafan Kredit Qantas Terancam

MELBOURNE: Qantas Airlines kini diletakkan dalam pemerhatian penarafan oleh Standard & Poor's kerana sahamnya hampir turun di bawah $1.00.

Jika perniagaan antarabangsa syarikat penerbangan itu tidak meningkatkan pendapatan dalam tempoh yang munasabah, profil risiko Qantas akan lemah, kata Standard & Poor's pada Jumaat.

"Pada pandangan kami, operasi antarabangsa Qantas adalah faktor utama kepada daya saing jangka panjang kumpulan itu," kata Penganalisis Kredit S&P May Zhong dalam satu kenyataan.

Awal minggu ini, Qantas berkata ia menjangka perniagaan antarabangsanya akan mencatatkan kerugian A$450 juta pada tahun kewangan 2011/12, lebih sekali ganda daripada kerugian A$216 juta pada tahun sebelumnya.

Syarikat itu memberi amaran bahawa keuntungan kumpulan setahun penuhnya akan dicatatkan antara A$50 juta dan A$100 juta, dengan penurunan sekitar 90 peratus berbanding A$552 juta yang dicapai pada tempoh sebelum itu.

Jika S&P akan menurunkan gred penarafan kredit Qantas, ia kemungkinan turun satu tahap daripada penarafan BBB semasa ini, kata agensi itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain