suria

Jurucakap Presiden Filipina Kritik Arroyo Guna Alasan Sakit Untuk Tinggal Lebih Lama Di Hospital

MANILA: Jurucakap presiden Filipina telah mengkritik bekas presiden Gloria Arroyo yang kini menggunakan alasan sakit untuk mengelaknya daripada ditempatkan di penjara sementara menunggu kes perbicaraannya bermula.

Arroyo, 65, kini sedang ditahan di sebuah wad di hospital tentera.

Jurucakap president Benigno Aquino, Edwin Lacierda mempersoalkan apakah Arroyo benar-benar sakit sehingga dia kini telah menghabiskan masa selama enam bulan di wad hospital berkenaan.

Lacierda berkata demikian dalam satu temuramah dengan stesen televisyen ABS-CBN.

Arroyo, yang tamat perkhidmatan sebagai presiden pada tahun 2010 selepas hampir sedekad memerintah telah ditahan hujung tahun lalu dan didakwa di mahkamah atas tuduhan terlibat menipu dalam pemilihan dewan senat pada tahun 2007.

Beliau juga kemudiannya telah didakwa atas tuduhan rasuah melibatkan satu projek rangkaian kemudahan jalur lebar kebangsaan.

Mahkamah telah menolak permohonan jaminan ke atas Arroyo tetapi membenarkan permohonannya untuk menjalani rawatan di sebuah hospital tentera.

Lacierda telah meminta para doktor kerajaan supaya sekali lagi membuat pemeriksaan rapi ke atas Arroyo.

Pada Rabu, suami Arroyo, Jose Miguel Arroyo telah dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menjual dua buah helikopter terpakai kepada Jabatan Polis sebagai helikopter baru pada tahun 2009.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain