suria

Kajian: Separuh Penduduk New York Bantah Sekatan Minuman Manis

NEW YORK: Kira-kira separuh daripada penduduk New York menyifatkan cadangan Datuk Bandar, Michael Bloomberg melarang minuman manis dihidangkan dalam cawan bersaiz lebih 480 mililiter (ml) di restoran, sebagai contoh kerajaan bertindak keterlaluan.

Manakala 42 peratus lagi berkata ia merupakan satu dasar kesihatan yang baik, menurut satu kajian yang dikeluarkan pada Isnin.

Seramai 500 orang dewasa terlibat dalam kajian pada Ahad itu, dan 53 peratus mengatakan cadangan itu merupakan bukan satu idea yang baik, manakala 42 peratus memuji konsep itu yang akan menjadikan New York sebagai bandar pertama di Amerika Syarikat (AS) yang mengehadkan saiz kandungan gula bagi menangani masalah obesiti.

Daripada kajian itu, sebanyak 45 peratus berpendapat bahawa larangan itu akan mebantu orang ramai untuk mengurangkan berat badan, manakala 52 peratus lagi berkata, ia tidak akan memberi sebarang perbezaan.

Lebih separuh peserta dalam kajian itu mengatakan mereka tidak akan membeli air minuman manis dalam saiz begitu besar sehingga terdapat cadangan untuk mengadakan larangan mengenainya.

Pengkaji menghubungi orang ramai secara rawak menerusi telefon mudah alih dan telefon talian tetap pada Ahad.

Kajian itu mengesan terdapat kesilapan kira-kira 4.5 mata.

Bloomber pada minggu lepas mencadangkan untuk mengehadkan saiz kandungan dalam minuman manis sehingga 480 ml di semua restoran, deli, trak makanan, pawagam dan arena sukan di bandar raya itu. - AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain