suria

Delhi: Adunan Silam Dan Moden

NEW DELHI: Bahagian Old Delhi, di mana terletaknya kebanyakan monumen sejarah yang mengagumkan, dan bahagian New Delhi, yang menampilkan imej moden, menawarkan adunan panorama silam dan moden yang menarik bagi mana-mana pelawat ke India.

Terletak di tebing sungai Yamuna, Delhi dikatakan wujud sejak abad keenam lagi dan dengan itu kaya dengan warisan dan kepelbagaian.

Dengan populasi 19 juta orang, Delhi adalah sebuah bandar raya aktif dan seperti mana-mana bandar raya utama lain di India, pelbagai tempat di Delhi dihubungkan oleh tren, teksi, bas dan beca berenjin.

Delhi Metro, dengan rangkaian luas stesen-stesennya yang terletak dalam lingkungan jarak jalan kaki ke kebanyakan monumen sejarah dan tarikan, menawarkan kelebihan kepada pelancong khasnya mereka yang mahu mengelakkan daripada tawar-menawar tambang dengan pemandu teksi atau beca berenjin.

Para pelancong boleh membeli kad perjalanan tanpa had bagi tempoh sehari atau tiga hari masing-masing pada harga Rs150 (RM8.85) dan Rs300 (RM17.70), yang termasuk deposit sebanyak Rs50 (RM2.95) yang akan dipulangkan apabila kad perjalanan ini dikembalikan dalam keadaan baik.

Walaupun Hindi dan Urdu adalah bahasa lazim di sini, bahasa Inggeris juga dipertutur dengan meluas dan ini memudahkan perjalanan pelawat asing.

SEBUAH BANDAR RAYA DALAM BANDAR RAYA

Pelbagai tempat menunggu pelawat ke Delhi, dengan beberapa daripadanya seperti Red Fort, Makam Humayun, Qutub Minar, Masjid Jama, India Gate, Lotus Temple dan Kuil Akshardham, yang tidak boleh dilepaskan peluang melawatinya.

Red Fort, yang juga dikenali sebagai Lal Qilal, yang dibina oleh Pemerintah Mughal Shah Jahan dan pernah menjadi kediaman diraja kini adalah tapak Warisan Dunia UNESCO.

"Red Fort adalah bandar raya dalam bandar raya bagi keluarga diraja semasa pemerintahan Shah Jahan," kata seorang pengembara penuh minat dari Simla, Tanuja Sud.

"Saya percaya wanita tidak dibenarkan meninggalkan kota ini dan mereka membeli keperluan harian di bazar dalam lingkungan dinding kota," kata Sud, yang berkongsi pengalaman perjalanannya melalui lamannya 'Savvy Travelers' di Facebook.

Pada masa yang sama, Makam Humayun adalah sebuah lagi tugu besar dengan senibina yang hebat dan kini dalam proses pemulihan. Pemandangan menara batu tertinggi di India, Qutub Minar tidak kurang hebatnya khasnya semasa matahari terbenam sementara Lotus Temple (kuil dalam bentuk bunga teratai), satu keajaiban moden, menawarkan pemandangan yang begitu indah.

Bagi pelawat beragama Islam pula Masjid Jama berusia 350 tahun, juga dibina oleh Shah Jahan, adalah tempat yang perlu dilawati.

Masjid ini menempatkan beberapa peninggalan yang terpelihara dengan baik, termasuk kitab al-Quran yang diperbuat daripada kulit rusa, seurat rambut jambang dan alas kaki Nabi Muhammad SAW selain daripada bekas tapak kaki Nabi Muhammad SAW yang terbenam di permukaan batu mamar.

Kebanyakan daripada tempat ini, kecuali Qutub Minar terletak di Old Delhi. Tempat lain yang wajar dipertimbangkan ialah Makam Safdarjang, Purana Qila, Raj Ghat, Connaught Place dan Jantar Mantar.

Akshardham adalah antara tarikan terbaru, iaitu sebuah kompleks kebudayaan yang menampilkan keagungan budaya India.

Dan bagi mereka yang mahu meneruskan kunjungan dengan sejarah peninggalan Shah Jahan boleh melawat sehari ke Taj Mahal, yang terletak di Agra kira-kira 200 km dari Delhi, termasuk jejak senibina hebat Shah Jahan.

DELHI DAN TAMAN

Selain daripada tempat yang bersejarah, Delhi juga terkenal kerana taman-tamannya. New Delhi dikatakan antara bandar raya paling hijau di dunia, sekali gus menjadikannya bandar raya yang kaya dengan burung-burung.

Terdapat 11 buah taman di Delhi - Nehru Park, Lodhi Gardens, Garden of Five Senses, Aatha Kunj, Buddha Jayanti Park, Delhi Ridge, Indraprasht Park, Kalindi Kunj, Mahatma Gandhi Park, Netaji Subhash Park dan Talkatora Gardens.

Ketua Negara UEM Group Bhd di sini Muhinder Singh berkata New Delhi adalah impian bagi mereka yang berminat mengambil gambar burung.

"Tempoh terbaik bagi memerhatikan burung adalah dari November hingga Disember dan dari Februari hingga Mac apabila ia adalah selesa untuk berada di luar," kata Muhinder yang meminati fotografi.

"Satu daripada tempat menarik bagi saya ialah Santuari Burung Sultanpur, yang terletak 40 minit perjalanan dari Gurgaon. Terdapat pelbagai jenis burung di situ daripada burung kecil hinggalah bangau Sarus yang ada antaranya lebih tinggi daripada saya!," jelas beliau lagi.

MAKAN DAN MEMBELI-BELAH

India secara keseluruhannya dianggap sebagai syurga membeli-belah, dan Delhi mempunyai banyak barang untuk ditawarkan.

Terdapat beberapa tempat seperti Chandhi Chowk, Sarojini Market, Janpat Market, Khan Market dan Lajpat Nagar yang pelawat boleh membeli-belah hingga boleh lupakan masa.

Bagaimanapun pelawat perlu tahu tawar menawar di pasar-pasar ini untuk mendapatkan harga terbaik.

Berhubung makanan pula, bandar raya ini menghidangkan masakan mewah Mughal.

Bagaimanapun, pelawat diminta elakkan daripada membeli makanan yang dijual di tepi jalan untuk mengelakkan keracunan makanan yang sering dikaitkan dengan makanan luar di sebahagian besar India.

Sebuah restoran terkemuka, Karim's, yang berhadapan dengan Masjid Jama, pernah disenaraikan sebagai restoran terkemuka di Asia oleh majalah Time.

Hari ini, generasi keempat Royal Chef of Karim meneruskan dengan hidangan Mughal dalam persekitaran mewah Mohgul.

Jika tidak sempat menjamah selera dekat Masjid Jama, pelancong boleh ke cawangan restoran-restoran ini di Nizamuddin, Kailash Colony, Noida, Gurgaon atau Kamla Nagar.

Tiada kesudahan bagi kehebatan yang dapat ditawarkan oleh Delhi. Sama ada New atau Old Delhi sudah pasti akan menjadi tarikan hebat bagi pelancong yang datang bersama kamera. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain