suria

AS Tamatkan Pembiayaan Untuk Sesame Street Pakistan

KABUL: Amerika Syarikat (AS) menamatkan pembiayaan untuk projek $20 juta bagi membangunkan program kartun Sesame Street versi Pakistan, menurut Kedutaan AS, Selasa.

Keputusan itu dibuat selepas sebuah akhbar Pakistan melaporkan mengenai dakwaan rasuah yang berlaku di sebalik 'patung' tempatan itu.

Organisasi yang menjadi persoalan ialah "Rafi Peer Theater Workshop", sebuah kumpulan di bandar Lahore yang bersama-sama membangunkan persembahan dengan "Sesame Workshop", pencipta siri kartun di Amerika.

Persembahan, termasuklah watak Elmo dan watak-watak baru Pakistan, mula disiarkan pada bulan Disember dan sepatutnya disiarkan selama sekurang-kurangnya tiga musim.

AS berharap kerjasama ini akan meningkatkan pendidikan di negara ini di mana satu pertiga daripada kanak-kanak sekolah peringkat rendah tidak bersekolah.

Ia juga bertujuan meningkatkan toleransi pada masa pengaruh pandangan radikal berkembang.

Jurucakap Kedutaan AS Robert Raines berkata Agensi AS bagi Pembangunan Antarabangsa menamatkan pembiayaan untuk program ini, tetapi enggan memberikan maklumat lanjut.

The Pakistan Today melaporkan pada Selasa bahawa puncanya sebagai kemelut penyelewengan kewangan di Rafi Peer, memetik sumber terdekat dengan projek tersebut sebagai berkata.

Pegawai-pegawai di Rafi Peer didakwa menggunakan wang AS untuk membayar hutang lama dan memberikan kontrak lumayan kepada saudara mara, sumber-sumber itu mendakwa.

Ketua Pegawai Operasi Rafi Peer, Faizaan Peerzada dan salah seorang daripada beberapa ahli keluarga yang menjalankan organisasi, menafikan dakwaan rasuah.

Beliau berkata AS menamatkan penyertaan selepas menyediakan $10 juta kerana kekurangan dana tambahan.

"Rafi Peer berbangga dengan persatuan, projek dan kualiti rancangan televisyen pendidikan kanak-kanak yang diwujudkan dan membuahkan hasil," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan yang dihantar kepada The Associated Press.

Jika dakwaan rasuah terbukti benar, ia adalah sesuatu yang memalukan program bantuan AS di Pakistan yang bernilai berbillion dolar, yang telah dikritik sesetengah penganalisis kerana kekurangan fokus dan tidak mencapai matlamat.

Rafi Peer merancang untuk mendapatkan sumber pembiayaan alternatif untuk terus menghasilkan Sesame Street versi tempatan, yang dipanggil Sim Sim Hamara atau Our Sim Sim.

Persembahan tersebut telah diketuai oleh seorang gadis riang berusia 6 tahun bernama Rani yang meminati sukan kriket dan muzik tradisional Pakistan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain