suria

'Pembunuhan Demi Maruah' Tetap Satu Pembunuhan, Mahkamah Sydney Diberitahu

MELBOURNE: Juri Mahkamah Agung di Sydney diberitahu tindakan seorang lelaki Indonesia membunuh kekasih isterinya adalah demi maruah, selepas kisah hubungan sulit itu tersebar dalam kalangan komuniti Malaysia di Sydney.

Hazairin Iskandar mengaku tidak bersalah membunuh Mohd Shah Saemin yang berasal dari Melaka, di luar fletnya di Leichhardt, Sydney pada 21 Feb 2010, tetapi mengaku bersalah menyebabkan kematiannya, lapor Australian Associated Press (AAP).

Di mahkamah itu pada Isnin, Pendakwa Raya Kara Shead berkata juri akan mendengar bahawa isteri Hazairin, Nita, mempunyai hubungan sulit dengan Mohd Shah yang juga rakan sekerjanya di Konsulat Malaysia, ketika kematiannya.

"Hubungan sulit ini menjadi topik perbincangan dalam kalangan komuniti Malaysia di Sydney," kata Shead menambah:

"orang memberitahu (Hazairin) dia adalah suami dan harus menghentikannya."

Juri akan mendengar Hazairin dan anak lelakinya Andrew menunggu Mohd Shah di luar fletnya sebelum melanggar kereta mangsa dengan kereta sewa mereka dan mengejar lelaki itu di sepanjang jalan, kata Shead.

Pendakwaan akan membuktikan Hazairin menikam Mohd Shah sekurang-kurangnya empat kali pada bahagian atas badan dengan sebilah pisau sementara anaknya membelasah mangsa berulang kali dengan tukul.

"Mangsa cuba melarikan diri, dia lari daripada dua penyerangnya itu," kata Shead dipetik AAP.

"Ketika melarikan diri itu, dia menjerit untuk menyelamatkan diri."

Mohd Shah mengalami beberapa pukulan objek tumpul di kepala, namun meninggal dunia akibat pendarahan daripada kesan tikaman.

"Pendakwaan akan membuktikan bahawa demi maruah keluarganya dan bersama anak lelakinya, tertuduh merancang untuk membunuh si mati menerusi apa yang mereka anggap sebagai pembunuhan demi menebus maruah," kata Shead.

"Ini merupakan pembunuhan yang dirancang dan dengan niat. Tertuduh merancang untuk membunuh atau sekurang-kurangnya menyebabkan kecederaan parah terhadap si mati."

Juri juga diberitahu Hazairin dibicara berasingan daripada anaknya. Kes didengar di hadapan Hakim David Davies. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain