suria

Pasukan Penyelamat Nigeria Temui Lebih Banyak Mayat Akibat Nahas Pesawat

LAGOS: Perkhidmatan kecemasan Nigeria pada Isnin mengeluarkan lebih banyak mayat dari rangka pesawat yang masih berbara dan dipenuhi abu, yang terhempas di hab komersial di Lagos dan membunuh kesemua 153 orang di atas kapal.

Presiden Goodluck Jonathan telah mengisytiharkan perkabungan kebangsaan selama tiga hari dan mengarahkan siasatan punca kemalangan yang berlaku pada Ahad di mana pesawat McDonnell Douglas MD-83 yang dikendalikan syarikat swasta domestik, Dana Air terhempas ke bumbung besi blok apartment.

"Ini benar-benar detik ngeri bagi kami di sini dan kami bersimpati dan memberikan ucapan takziah kepada semua mangsa dan keluarga. Tiada perkataan untuk menyatakan kesakitan dan kesedihan kami," kata gabenor Lagos, Babatunde Fashola di lokasi kemalangan.

"Ia menyedihkan, ia keterlaluan."

Syarikat penerbangan itu pada Ahad berkata seramai 147 orang telah terkorban, tetapi dalam senarai yang disiarkan, terdapat juga enam krew, menjadikan jumlah 153 yang terbunuh.

Ketua Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA) Lagos, Oke Osanyintolu memberitahu Reuters di tempat kejadian bahawa 80 mayat telah ditarik keluar sehingga pukul kira-kira 12.30 tengah hari (1130 GMT).

Kren digunakan untuk membantu membersihkan sisa runtuhan.

Pasukan mencari dan menyelamat menemui apa yang dipercayai sebagai perakam kotak hitam pesawat dan menyerahkannya kepada polis, kata pengarah mencari dan menyelamat NEMA, Bankole Abayomi,

Punca kemalangan masih tidak diketahui.

"Mereka masih sibuk mencari mayat. Saya percaya sesetengah orang terbunuh di atas tanah selain di dalam penerbangan, walaupun kita tidak lagi mempunyai anggaran yang tepat tentang angka," kata Tunji Oketunbi, seorang jurucakap bagi Biro Siasatan Kemalangan Nigeria.

"Apa-apa dakwaan mengenai punca kemalangan adalah spekulasi buat pada masa ini," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain