suria

Pergaduhan Tercetus Dalam Sidang Parlimen Thailand Tatkala Ribuan Berhimpun Di Luar

BANGKOK: Pergaduhan tercetus dalam sidang Parlimen Thailand apabila beberapa wakil pembangkang meminta Speaker mengosongkan kerusinya sebagai membantah cadangan rang undang-undang perdamaian tatkala ribuan berhimpun di luar.

Ia berlaku kira-kira 6 petang apabila Speaker Somsak Kiatsuranont meminta anggota Dewan mengundi bagi membolehkan empat rang undang-undang perdamaian yang dicadangkan dibahaskan dengan segera.

Beberapa anggota Parlimen lelaki pembangkang dengan pantas mengelilingi Kiatsuranont dan seorang daripada mereka menarik tangannya supaya mengosongkan kerusinya.

Ini mendorong polis campur tangan dan menyelamatkan Speaker dengan membawanya keluar dari Dewan.

Keadaan itu tidak berakhir di situ apabila beberapa anggota Parlimen wanita pembangkang cuba mengalih keluar kerusi speaker dari podium serta kerusi dua timbalan speaker.

Kali ini pergaduhan melibatkan beberapa anggota Parlimen wanita pembangkang dan anggota Parlimen kerajaan apabila mereka menolak antara satu sama lain untuk mendapatkan tiga kerusi itu.

Keadaan itu berlarutan selama kira-kira 10 minit setelah semua kerusi itu diletakkan semula di tempat asal oleh polis dan staf Parlimen.

Timbalan Speaker Wisut Chainarong kemudiannya meneruskan semula sidang Dewan. Ribuan penyokong Baju Kuning bagi parti People's Alliance for Democracy (PAD) serta penyokong baju berwarna-warni berhimpun di luar bangunan Parlimen sejak 3 petang bagi membantah rang undang-undang perdamaian.

"PAD berikrar untuk tidak akan berganjak sehingga mencapai misinya membantah rang undang-undang itu," kata pemimpin PAD Sondhi Limthongkul.

Pembangkang dan penunjuk perasaan mendakwa rang undang-undang itu, antara lain bertujuan menutup kesalahan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra kerana ia menawarkan pengampunan mutlak.

Thaksin yang digulingkan dalam rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah pada 19 Sept, 2006 telah melarikan diri dari Thailand sejak 2008 selepas menghadapi pertuduhan rasuah berhubung pembelian tanah oleh isterinya di Ratchadaphisek, di sini dan kemudiannya didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun, tanpa hadir di mahkamah.

Empat rang undang-undang perdamaian itu dicadangkan oleh dua anggota Parlimen kerajaan dari parti Pheu Thai, seorang pemimpin Baju Merah yang juga anggota Parlimen Pheu Thai dan perancang rampasan kuasa 2006 Jen Sonthi Boonyaratglin atas kapasitinya selaku Pengerusi Jawatakuasa Dewan mengenai Perdamaian Nasional.

Pada awalnya, pesaing Baju Kuning, Baju Merah yang dikaitkan dengan kerajaan juga mahu mengadakan perhimpunan di luar bangunan Parlimen hari ini sebagai tanda menyokong rang undang-undang itu tetapi membatalkannya selepas dinasihatkan oleh polis.

Setakat 8 malam ini (waktu Malaysia: 9 malam), Parlimen masih bersidang manakala penunjuk perasaan masih berhimpun di luar. - BERNAMA

Artikel Lain