suria

Ikan Asia Diimport Ke Australia Mengandungi Antibiotik Dilarang

MELBOURNE: Semakin banyak eksport ikan Asia didapati mengandungi tahap antibiotik yang dilarang.

Cawangan keselamatan makanan Jabatan Pertanian Persekutuan Australia, mengesahkan semakin banyak import ikan yang diuji positif bagi antibiotik yang dilarang, demikian menurut laporan yang disiarkan dalam akhbar The Age.

Import itu termasuklah lima konsainan ikan dari Vietnam yang disekat oleh pegawai-pegawai keselamatan bio tahun ini kerana ikan-ikan itu mengandungi enrofloxacin antibiotik yang dilarang.

Ini berikutan tiga penghantaran ikan Vietnam yang gagal ujian bagi antibiotik yang dilarang itu tahun lepas.

"Trend yang kami lihat pada ikan, umumnya antibiotik, ialah tahap residu yang rendah, tetapi ia tetap ada," kata jurucakap cawangan keselamatan itu, Narelle Clegg, kepada akhbar itu.

Akhbar itu berkata, sejak 2010, lebih seribu jenis makanan import tidak menepati piawaian Australia.

Makanan China gagal kebanyakan ujian diikuti oleh makanan dari India, Itali, Jepun, Korea dan Perancis.

Makanan yang tidak menepati piawaian itu mengandungi kesan listeria monositogenes yang boleh menyebabkan wanita hamil mengalami keguguran, dan lapan konsainan mengandungi bakteria vibrio cholerae yang boleh menyebabkan penyakit taun. - BERNAMA

Artikel Lain