suria

Presiden Myanmar Tangguh Lawatan Rasmi Ke Thailand

BANGKOK: Presiden Myanmar Thein Sein tidak akan menghadiri Forum Ekonomi Dunia mengenai Asia Timur, yang berlangsung selama tiga hari di sini mulai Rabu ini manakala pemimpin pembangkang Myanmar Aung San Suu Kyi telahpun mengesahkan kehadirannya.

Pengarah Kanan dan Ketua Asia Forum Ekonomi Dunia Suchant Palakurthi Rao berkata Thein Sein turut menangguhkan lawatan rasminya ke negara ini beberapa hari selepas forum itu berlangsung.

Pada mulanya, Thein Sein dijadual menghadiri forum berkenaan selain melakukan lawatan rasmi ke negara ini dalam tempoh itu.

Menurut Kementerian Luar Thai, tarikh baru lawatan rasmi itu dijadual pada 4 dan 5 Jun.

Rao berkata kerajaan Myanmar akan diwakili oleh menteri tenaga dan naib menteri pelancongan dan perdagangan.

Suu Kyi dijangka menghadiri sesi mengenai 'Wanita Asia sebagai Peneraju Ke hadapan' dan 'Harapan dan Masa Depan Myanmar', kedua-duanya pada Jumaat.

Rao berkata 630 wakil daripada kerajaan, industri dan masyarakat madani dari 50 negara akan menghadiri forum itu.

Mengenai kemungkinan berlaku demonstrasi jalanan di ibu negara ini semasa forum berlangsung, Rao berkata WEF yakin dengan kemampuan penganjuran negara ini berikutan pengalamannya menganjurkan acara peringkat antarabangsa sebelum ini.

Penyokong kumpulan Baju Kuning merancang untuk mengadakan demonstrasi jalanan Rabu ini sebagai membantah cadangan rang undang-undang perdamaian yang mereka dakwa bertujuan menutup apa jua salah laku bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Artikel Lain