suria

Australia Usir Pulang Diplomat Syria

SYDNEY: Kerajaan Australia secara rasmi telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Syria serta mengusir diplomat negara itu ekoran kejadian pembunuhan beramai ramai lebih 100 orang awam termasuk kanak-kanak di pekan Houla baru-baru ini.

Kejadian yang berlaku pada Jumaat dan Sabtu lalu itu telah menyaksikan 108 orang awam termasuk 49 kanak-kanak dan 34 wanita telah dibunuh dengan kejam oleh sekumpulan anggota bersenjata.

Kerajaan Syria menafikan sebarang pembabitan dalam kejadian itu.

Menteri Luar, Bob Carr berkata, kerajaannya memberi tempoh 72 jam kepada para diplomat Syria untuk meninggalkan negara itu.

Diplomat Syria, Jawdat Ali telah dimaklumkan mengenai keputusan itu sehari selepas beliau dipanggil ke Kementerian Luar Australia untuk dimaklumkan mengenai bantahan kerajaan negara itu ke atas pembunuhan beramai-ramai di Houla yang mencetuskan kutukan antarabangsa.

"Kerajaan Australia tidak dapat menerima tindakan membunuh 100 orang termasuk wanita dan kanak-kanak di negara itu kerana ia adalah satu jenayah yang tidak berperi kemanusiaan," tegas Carr.

Beliau juga menambah, Kerajaan Syria bolehlah menganggap bahawa Australia tidak akan menjalinkan sebarang hubungan diplomatik sehinggalah ia menerima genjatan senjata anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diketuai oleh Wakil Khas Kofi Annan.

Presiden Syria, Bashar al-Assad yang kini berada dalam tekanan telah menerima kunjungan Annan di Damascus bagi membincangkan pelan damai anjuran PBB itu.

Artikel Lain