suria

Undi Wanita Akan Pengaruhi Pemilihan Presiden AS

KUALA LUMPUR: Pengundi wanita merupakan antara faktor yang akan menentukan kejayaan calon pada pemilihan presiden Amerika Syarikat pada 6 November ini, menurut seorang penulis politik Amerika Syarikat.

David Yepsen, yang juga pengarah Institut Dasar Awam Paul Simon di Universiti Carbondale, Southern Illinois, berkata faktor itu disebabkan 53 peratus pengundi Amerika Syarikat terdiri daripada golongan wanita.

Katanya berdasarkan kajian terkini, 60 peratus pengundi wanita telah menyatakan sokongan mereka terhadap Presiden Barack Obama dari Parti Demokratik.

"Ini merupakan cabaran kepada Mitt Romney dari parti Republikan untuk menyakinkan pengundi wanita untuk menyokong beliau," katanya pada ceramah bertajuk 'Perjalanan ke White House: Calon dan Isu pada 2012' di sini, malam Khamis.

Pada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat ke-57, Obama akan bersaing untuk penggal kedua dan terakhir menentang Romney.

Mengenai pemberitaan pada pemilihan itu, Yepsen berkata wartawan tidak harus melaporkan isu yang sama tetapi perlu turun padang dan mendapat pandangan rakyat serta harapan mereka terhadap calon pilihan masing-masing.

Maklumat seperti itu boleh membantu calon memenuhi keperluan rakyat, katanya sambil menambah: "Dapatkan suara pengundi dan elak mengikuti berita yang sama." - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain